| Universiti Putra Malaysia

“Superhero Magic Jr 2.0” cetus minat kanak-kanak terhadap sains melalui bengkel interatif

SERDANG, 21 Mei - Atas kejayaan program “Superhero Magic Jr” yang memberangsangkan, tahun ini ‘Superhero Magic Junior 2.0’ versi naik taraf terus memanfaatkan kanak-kanak berusia 6 tahun hingga 10 tahun dari seluruh negara yang menyertai program ini.

Program itu diadakan sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 yang dianjurkan oleh Pasukan Magik Fizik, Kelab Mahasiswa Fizik (KMF), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI), Kimia Malaysia, UPM STEM dan Kelab MySTEM Ambassador UPM.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata, bengkel interaktif itu berasaskan perkongsian ilmu dan kepakaran dalam sains yang diolah dalam pendekatan magik yang lebih kreatif dan menarik serta dinamakan ‘magik’ untuk menarik perhatian peserta untuk menyertai program yang berkaitan dengan sains.

“Program yang kreatif diperlukan untuk memupuk minat terhadap sains sejak dari kecil lagi dan penglibatan langsung bersama ibu bapa juga memainkan peranan dalam memberikan idea kepada mereka untuk melakukan aktiviti sains bersama anak-anak di rumah dengan menggunakan alatan yang senang didapati di rumah,” katanya.

Tambah beliau, bengkel tersebut mendapat sambutan yang amat meriah daripada ibu bapa dan penglibatan secara aktif para peserta.

“Program ini dijalankan secara hybrid di mana ‘ahli silap mata’ berada dalam bilik persidangan di UPM manakala peserta menyertai di rumah masing-masing melalui platform Zoom meeting.dan walaupun dijalankan secara hibrid ia tidak menjejaskan pencapaian objektif program itu,” katanya.

Pengarah program, Muhamad Zamri, Muhammad Zulkarnai berkata, beliau bersyukur atas peluang yang diberikan untuk menjayakan program kesukarelawan kali kedua ini secara hibrid.

“Bengkel yang dilaksanakan secara hibrid secara keseluruhannya dapat memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak berumur antara enam hingga 10 tahun untuk meminati bidang sains dan seterusnya dapat menjadikan pembelajaran sains lebih menarik serta dapat melakukan eksperimen sains di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati,” katanya

Tambah beliau, situasi endemik pada masa kini dapat menambahkan kesempurnaan program dengan dapat mengadakan program secara hibrid sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022.

Fasilitator program yang terlibat antaranya Muhamad Zamri, Muhammad Zulkarnai, Faiz Iqbal, Muhammad Fauzi, Muhammad Nazreen, Amir Zakwan, Zaki Ayman, Muhammad Danial, Mohamad Khusyairi, Muhammad Hakimi, Muhammad Aizzat dan Danial Damanhuri yang merupakan ahli ‘Team Magic Physics UPM’

Ibu kepada peserta, Nur Mahfuzah Ahmad Tajuddin berkata bengkel seperti itu bermanfaat bagi menarik minat anak-anak beliau iaitu Muhammad Faris Haikal Muhammad Firdaus dan Muhammad Firas Hafiy Muhammad Firdaus terhadap bidang sains.

“Program seperti ini amat diperlukan untuk anak-anak saya bagi meningkatkan pengetahuan sains dan dalam masa yang sama ia juga menyeronokkan dengan persembahan serta eksperimen yang sangat menarik dan mengagumkan,” katanya. - UPM

SXDdOA~