Sultan Sharafuddin Mahu Graduan UPM Berjaya Dalam Akademik Dan Sahsiah | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Sultan Sharafuddin mahu graduan UPM berjaya dalam akademik dan sahsiah

Sultan Sharafuddin mahu graduan UPM berjaya dalam akademik dan sahsiah

SERDANG, 16 Nov - Sultan Selangor, Canselor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih kejayaan dalam kedua-dua bidang akademik dan sahsiah, serta menyuburkan jiwa kepemimpinan dalam diri masing-masing.

Baginda bertitah, kejayaan bukan sahaja mesti diraih dalam bidang akademik tetapi juga sahsiah untuk diri sendiri dan juga bagi generasi akan datang supaya dapat mewujudkan masyarakat madani.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah graduan tidak boleh lupa sejarah, dan sentiasa mempertahankan nilai dan institusi penting dalam usaha memelihara keharmonian dan perpaduan negara.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa pendidikan yang berkualiti merupakan teras kepada kelestarian pembangunan negara.

“Peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan belia atau graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja, tetapi juga melengkapkan graduan dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tatacara kehidupan insaniah.

 

“Graduan harus sentiasa mempertahankan nilai dan institusi penting dalam usaha memelihara keharmonian dan perpaduan negara”

Sultan Sharafuddin Idris Shah,

Sultan Selangor

 

“Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan yang lain dan alam persekitaran serta akhirnya akan menjamin masa depan yang lestari,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Anthony Francis Fernandes dan anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah dan Datuk Dr. Mohd Sham Kasim.

Sempena konvokesyen empat hari itu, seramai 6,015 graduan terdiri daripada 632 penerima ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang tertinggi dalam sejarah UPM, 1,554 Master, 3,337 Bacelor dan 492 Diploma menerima ijazah dan diploma.

Baginda juga bertitah, graduan harus berasa syukur atas nikmat dan kelebihan yang dimiliki sebagai graduan UPM, dan mahu mereka berjuang meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara, ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari.

Sehubungan itu, baginda turut meminta graduan menjauhi perlakuan yang tidak sopan, terutamanya dalam majlis rasmi, yang boleh mengundang tanggapan negatif masyarakat.

“Graduan juga perlu menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara supaya bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara,” titah baginda. – UPM

Tarikh Input: 16/11/2019 | Kemaskini: 17/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJSPAY:15:31