| Universiti Putra Malaysia

Sukan rakyat bentuk sahsiah mahasiswa Madani

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 25 Januari – Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan konsep Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Malaysia Madani dilihat sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.

Menerusi konsep ini, semua rakyat Malaysia tidak kira pangkat dan lapisan masyarakat mahupun golongan mahasiswa yang sedang menuntut ilmu perlu menyokong perkara ini dalam usaha membina masyarakat bertamadun dan melahirkan modal insan cemerlang.

Program sukan rakyat yang disertai oleh mahasiswa merupakan salah satu bentuk penyatuan kesejahteraan serta mengangkat prinsip saling menghormati dan kerjasama dalam pasukan tanpa mengira kaum dan usia.

Dalam pada itu, inisiatif ini dilihat menjadi wadah terbaik dalam mengangkat dan menjulang kembali warisan budaya permainan tradisional yang sering menjadi perhatian dan aktiviti yang menyatukan bangsa suatu ketika dahulu sebelum kehadiran teknologi pintar.

Selain mengukuhkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pelajar, penganjuran sukan rakyat juga dilihat mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai sahsiah madani.

Tamsilannya, kebanyakan permainan tradisional dalam sukan rakyat menguji kecekapan berfikir seperti permainan congkak, wau tradisional, sepak raga, kabbadi, dan guli lantas dapat melahirkan mahasiswa yang cerdas pemikirannya.

Pembentukan sahsiah mahasiswa yang cerdas akal fikirannya mampu menyumbang cadangan bernas dan berfikir secara kritis dalam menyampaikan idea kepada sebuah pembentukan negara yang lebih baik.

Latihan pemikiran secara kreatif dan kritis terbentuk melalui semangat ingin menang dalam permainan yang disertai bahkan melatih mereka menjadi mahasiswa kelas pertama.

Mahasiswa kini dituntut agar lebih berani, memiliki ciri kepimpinan yang baik serta mempunyai sahsiah yang mulia. Maka, usaha mereka dalam penyertaan aktiviti sukan rakyat secara tidak langsung melatih menjadi seorang pemimpin untuk bertindak dengan penuh berhemah bagi memastikan keharmonian serta kemenangan pasukan masing-masing.

Tanpa sedar, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti sukan sebenarnya melatih diri mempunyai disiplin agar sentiasa bertingkah laku baik, mewujudkan interaksi sosial dalam kalangan ahli dan mengemudi pasukan dengan penuh sifat kepimpinan.

Di samping mempunyai disiplin ilmu yang baik di dalam kelas, mahasiswa perlu melatih diri melakukan hal yang sama bersama ahli masyarakat agar negara dapat mengangkat peradaban bangsa Malaysia.

Pada 15 Januari yang lepas, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Sukan Rakyat Piala Tan Sri Mustaffa Babjee 2023 (SURAK 2023) berjaya menarik minat 319 orang mahasiswa mengimbau semula nostalgia.

Sambutan oleh mahasiswa ini menonjolkan  warisan budaya masyarakat Malaysia masih dikekalkan sungguhpun golongan ini lahir dalam dunia teknologi yang serba moden dan tidak asing dengan permainan video.

SURAK 2023 telah mempertandingkan lapan acara permainan tradisional iaitu colek lidi, congkak, gusti lengan, dam, galah panjang, kabaddi, tuju tin dan tarik tali menerusi dua kategori iaitu lelaki dan perempuan.

Di samping itu, Jemaah Pengetua kolej-kolej Kediaman UPM turut menyertai permainan tuju tin dalam memeriahkan lagi suasana program dan menguji ketangkasan mereka bermain setelah sekian lama mereka meninggalkan permainan tersebut ketika zaman remaja.

Semangat berpasukan antara mahasiswa UPM ini jelas menghidupkan muhibah di antara komuniti kolej kediaman serta membina suasana ceria.

Justeru, program sebegini perlu dilaksanakan secara berterusan dan dijadikan sebagai wadah kelangsungan warisan budaya khususnya permainan tradisional Malaysia seterusnya membentuk sahsiah terpuji dalam kalangan mahasiswa. -UPM

SXDdVA4~