| Universiti Putra Malaysia

Sukan bantu tingkatkan mental agar sentiasa positif

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang


SERDANG, 28 Nov – Umum mengetahui bahawa bersukan akan memberikan banyak faedah kepada individu kerana aktiviti mengeluarkan peluh menggalakkan penghasilan endorfin, iaitu hormon yang akan menggalakkan perasaan positif dan gembira.

Dua atlet bola tampar UPM, Sim Ming Feng, 24 dan Yee Shu Yaw, 24 masing-masing mengakui bahawa apabila menjadi atlet sukan sangat membantu mereka untuk menjadi lebih positif dan menguatkan mental masing-masing.

Sim Ming Feng yang mula dibawa ke gelanggang seawal usia tujuh tahun berkata sukan melatih dirinya untuk menguruskan emosi dengan baik dan membantu dirinya untuk sentiasa bertenaga menghadiri kelas.

“Saya sebagai pelajar Bacelor Pendidikan Jasmani sudah semestinya sentiasa melakukan aktiviti sukan namun ia membantu saya sentiasa kekal fokus dalam kelas. Menjadi seorang atlet juga sememangnya perlu mempunyai kekuatan mental,” katanya.

Sementara itu, Yee Shu Yaw graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan berkata pengalaman setiap petang turun ke latihan bola tampar membantunya agar tidak cepat berputus asa untuk membahagikan pelajaran dan sukan.

“Sebelum COVID-19, setiap petang memang sepenuhnya tumpuan akan diberikan untuk berlatih bermain bola tampar. Sudah pastinya fokus utama ialah akademik namun tidak mengabaikan kepentingan bersukan.

“Disebabkan sesi kami COVID-19 melanda, kami hanya sempat menyertai Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019, dan pasukan lelaki serta wanita UPM berjaya menyumbangkan emas,” katanya selepas ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 sesi tiga hari ini. -UPM

SXEZJAK~