| Universiti Putra Malaysia

SUAMI ISTERI SAMBUNG MASTER BERI MOTIVASI KEPADA PELAJAR

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 24 Mac - Pasangan suami isteri yang masing-masing bertugas sebagai seorang guru sekolah menengah di Negeri Sembilan menyambung pengajian dalam Master bagi menyuntik semangat pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi.

Aida Jusoh, 41, dan Mohd Zulhelmi Kadirun, 35, masing-masing berjaya menerima skrol Master Pentadbiran Pendidikan dalam Majlis Konvokesyen ke-45 Universiti Putra Malaysia (UPM) pada sidang keenam hari ini.

“Tujuan untuk menyambung master adalah untuk menaikkan semangat pelajar agar apabila mereka melihat kita sambung belajar maka mereka juga akan berusaha seperti kita.

“Guru-guru akan menjadi contoh kepada pelajar sekolah ini dan kita memberi motivasi buat  mereka agar mereka juga akan berjaya seperti guru-gurunya,” kata Zulhelmi yang bertugas di SMK Juasseh Kuala Pilah.

Sementara itu, Aida yang bertugas di SMK Dato Haji Mohd Redza, Seremban berkata belajar sambil menabur ilmu buat anak bangsa di sekolah merupakan satu perkara yang tidak mudah untuk dihadapinya.

“Apabila COVID-19 melanda saya berasa sangat berputus asa kerana tidak pernah terbayang untuk mengajar secara dalam talian, menggunakan Google Meet dan sebagainya kerana ini adalah cabaran yang sangat baharu buat kami.

“Belajar dan mengajar ketika pandemik ini bukan satu yang mudah dan saya sangat berterima kasih kepada suami saya kerana banyak memberi sokongan agar saya tidak berputus asa,” katanya.

Pasangan suami isteri itu juga berpegang pada prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalan kerana setiap kesusahan yang di hadapi pada masa ini akan ada manisnya di pengakhiran nanti. - UPM

SXESOAK~