| Universiti Putra Malaysia

Staf UPM genggam segulung diploma

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 19 Mac – “Terima kasih UPM kerana membuka pendidikan untuk staf dan diploma ini bukan untuk kerjaya tetapi ingin menyumbang bakti kepada warga kampus,” katanya.

Begitulah kata-kata graduan Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan, (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Azlan Mohmed Abraur.

Mohd Azlan yang turut bertugas selama tujuh tahun sebagai pemandu kenderaan kepada Pengarah Keselamatan UPM meluahkan rasa syukur impiannya untuk mengenggam segulung diploma akhirnya tercapai.

“Sebagai seorang pemandu kenderaan kepada Pegarah Keselamatan UPM saya perlu membahagikan masa dengan baik antara kelas dan jadual pergerakan Pengarah,” katanya.

Beliau yang sering kali menjadi petugas keselamatan Majlis Konvokesyen UPM sejak 15 tahun yang lalu berazam untuk memiliki segulung diploma atau ijazah seperti graduan UPM yang lain.

“Sebenarnya lama saya menyimpan angan-angan untuk genggam skrol seperti graduan lain setiap kali saya menjadi petugas konvokesyen dan mengambil inisiatif dengan mencari jurusan yang bersesuaian untuk kelayakan saya,” katanya.

Menurutnya lagi, apabila menjalankan kuliah dalam talian, ada kalanya Pengarah serta pegawai keselamatan turut sertai kelas di dalam kereta bersama beliau.

Sementara itu, abangnya, Muhammad Azizul Mohmed Abraur turut akan bergraduat di UPM dalam program Master Pengurusan Pendidikan pada sesi keenam. – UPM

WXEUKAX~