| Universiti Putra Malaysia

Sistem i-MeX PKU percepat urusan daftar pelajar baharu

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 6 Ogos -  Sistem pemeriksaan kesihatan i-MeX (In House Medical Check Up Express) Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bukan sahaja mempercepatkan urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu, malah dapat mengenalpasti lebih awal pelajar yang bermasalah kesihatan untuk tindakan susulan yang akan dapat membantu pelajar dan universiti, di samping memelihara maklumat kesihatan pelajar dan kerahsiaannya.

 

Selain menjimatkan masa ketika proses pendaftaran kemasukan pelajar, sistem  yang dibangunkan oleh PKU Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Projek Pengurusan Lean itu berjaya menjana pendapatan PKU dan UPM, selain menjimatkan penggunaan sumber manusia dan kos sumber manusia kerana kurangnya keperluan staf untuk bekerja lebih masa.

 

i-MeX mula dilaksanakan sebagai projek perintis (pilot project) pada 2016 semasa pendaftaran kemasukan kira-kira 1,000 pelajar asasi dan berjaya menyingkatkan tempoh proses pemeriksaan kesihatan kepada satu minggu berbanding sebulan sebelumnya.

Semua maklumat dan butiran yang diperlukan juga dapat diseragamkan selain data yang lengkap dapat diperolehi pada hari yang sama.

 

Inovasi sistem i-MeX ini merangkul Anugerah Emas pada Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah (RTEx) 2018 bagi WilayahTengah yang disertai oleh 63 agensi kerajaan dan swasta. Ia dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

Ketua kumpulan yang membangunkan i-MeX, Dr. Suhyna Mohamad Sulaiman berkata, pelaksanaan sistem itu bukan sahaja memudahkan PKU dan Universiti tetapi juga pelajar, kerana ia melancarkan proses pendaftaran kemasukan pelajar baharu ke UPM.

 

Katanya, sebelum i-MeX dilaksanakan, semua staf PKU perlu keluar ke semua 17 kolej bagi menguruskan perihal borang pemeriksaan kesihatan sama ada yang lengkap atau tidak lengkap bagi kira-kira 3,000 pelajar pra-siswazah, yang turut menyebabkan Universiti perlu membayar elaun kerja lebih masa staf termasuk  pada waktu cuti umum untuk melaksanakan tugasan itu.

Dr. Suhyna yang juga Ketua Perkhidmatan Pesakit Luar PKU berkata, pada masa yang sama banyak maklumat dan dokumentasi yang tidak lengkap diterima seperti tiada laporan atau filem X-ray dan ujian air kencing yang tidak lengkap.

 

Katanya, ia menyebabkan PKU terpaksa mengenalpasti dan memanggil semula pelajar berkenaan bagi melengkapkan proses berkenaan, yang sedikit sebanyak menganggu kehadiran pelajar ke kuliah kerana perlu mengulang semula ujian diagnostik itu.

 

“Melalui pemeriksaan in-house i-MeX ini, dokumentasi akan menjadi cantik serta seragam, tambahan pula melalui pra-pendaftaran e-daftar, pelajar perlu mengisytiharkan status kesihatan mereka. Ini sekaligus dapat membantu PKU mengenalpasti mereka yang perlu mendapatkan perhatian perubatan dengan segera sebelum mereka tiba di UPM.

 

“Kita akan membuat pemeriksaan kesihatan dan jika pelajar dikesan menghidapi sesuatu penyakit, kita akan memberi pandangan dan makluman kepada fakulti dan kolej untuk tindakan yang selanjutnya bersesuaian dengan keadaan kesihatan semasa pelajar,” katanya, sambil menjelaskan pelajar antarabangsa juga wajib menjalani pemeriksaan kesihatan di PKU.

 

Beliau berkata, pelajar perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sepenuhnya di PKU untuk memastikan laporan kesihatan pelajar adalah sahih. Semua maklumat kesihatan itu terpelihara kerahsiaannya selaras dengan pematuhan kepada Information Security Management System (ISMS).

 

“Tempoh masa pemeriksaan kesihatan ini telah berjaya dikurangkan kepada satu setengah bulan daripada tiga bulan bagi pelajar pra-siswazah yang membabitkan kira-kira 3,000 pelajar, manakala untuk pelajar asasi kepada seminggu berbanding tempoh sebulan sebelum ini,” katanya.

 

Mengenai Anugerah Emas yang dimenangi pada RTEx 2018 WilayahTengah itu, Dr. Suhyna berkata, beliau tidak menjangkakan kemenangan itu memandangkan persaingan yang cukup hebat daripada agensi kerajaan dan swasta yang lain. Bagaimanapun beliau sangat bersyukur kerana dapat membantu mengharumkan nama UPM.

 

Kumpulan itu menerima sijil dan trofi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah MPC, Dato’ Mohd Razali Hussain.

Pencapaian anugerah emas itu melayakkan PKU UPM untuk menyertai anugerah inovasi peringkat kebangsaan hujung tahun ini di Sunway Convention Centre.

 

Ahli lain kumpulan itu ialah Dr. Latinah Mohamad, Sr. Kamariah Md Diah, Sr. Salmah Uzairi, Hazri Mohd Ghazani, Sharul Afzan Mohd Said, JM. Nor Azlina Mohd Amin, Lailatul Badariah Buharan Nordin, Nur Wahida Abdul Rahman, dan P. Mageswary. - UPM

 

SXETTAl~