| Universiti Putra Malaysia

Serdang Angels turun padang hulur bantuan kepada mangsa banjir

SERDANG, 14 Jan - Komuniti ragbi tanahair tidak ketinggalan membuktikan semangat setiakawan dengan menyalurkan bantuan pasca banjir kepada mangsa di negeri Pantai Timur.

Antara yang terawal menggerakkan pasukan bantuan ialah pasukan ragbi Universiti Putra Malayusia (UPM) Serdang Angels dan Ex-Angels yang menubuhkan Angels/Ex-Angels Task Force Team (AETFT) bagi Misi Sukarelawan bantuan banjir di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PKS Ragbi UPM, Dr. Mohd Rozilee Wazir Norjali Wazir berkata beliau berbangga melaksanakan misi kesukarelawan itu bersama pasukannya kerana ia memberi kemahiran insaniah dalam aspek kemasyarakatan kepada pelajar UPM.

Pasukan AETFT memulakan Misi Bantuan Banjir ke Benta, Pahang pada 8 Januari lalu untuk kerja-kerja pembersihan di rumah pelajar dan alumni UPM yang terlibat iaitu pelajar Phd (Produksi Haiwan), Abdul Mu'in Hassan Basri; pelajar Master of Science (Industrial Design Studies), Abdul Mun'im Hassan Basri; alumni program Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan (DKHP), Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dan Master Sains Veterinar (MVSc Veterinary Parasitology), Basripuzi Nurul Hayyan Hassan Basri dan alumni program Asasi Sains Pertanian dan Bacelor Sains Perhutanan, UPM, Abdul Mu'iz Hassan Basri

Pasukan AETFT yang diketuai pengurus pasukan Serdang Angels, Muhammad Zyuraidi Abdul Majid berada di Benta selama tiga hari. Mereka membantu penduduk di sekitar kediaman pelajar dan alumni UPM itu dengan membersihkan kediaman yang rosak teruk ditenggelami air ketika banjir baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu turut hadir pada sesi Taklimat sebelum Pasukan AETFT bertolak ke Pahang.

Prof. Dr. Arifin berkata UPM merupakan Pusat Kecemerlangan Sukan Ragbi mencipta pelbagai kejayaan khususnya dalam arena ragbi kebangsaan serta melahirkan ramai pemain negara melalui program yang dilaksanakan di bawah pusat kecemerlangan itu. 

Beliau berharap reputasi cemerlang pasukan ragbi universiti itu akan kekal gemilang memartabatkan tradisi Berilmu Berbakti. - UPM

WXEaNA3~