| Universiti Putra Malaysia

Senator Datuk Ras Adiba tinjau fasiliti OKU di UPM

SERDANG, 8 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima kunjungan Ahli Dewan Negara mewakili golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dalam siri jelajah pertama beliau di sini.

Beliau meninjau fasiliti dan kemudahan yang disediakan oleh UPM kepada pelajar OKU.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Idrus berharap dengan adanya program jelajah universiti seperti itu akan dapat membantu universiti memantapkan keperluan dan pembangunan fasiliti kepada pelajar OKU.

“UPM sentiasa terbuka dan menerima warga OKU sejak sekian lama dengan memberi peluang melanjutkan pengajian dan pekerjaan kepada OKU. Perkhidmatan tersebut sentiasa diperhalusi dari semasa ke semasa, dan terkini UPM mewujudkan Kampus Inklusif OKU,” katanya.

Lawatan dan tinjauan fasiliti serta kemudahan OKU dijalankan di Kolej Kesepuluh, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, dan tinjauan kemudahan pengajaran TVET kepada pelajar OKU di Fakulti Pengajian Pendidikan, serta Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).

Sebelum itu, Senator Ras Adiba telah mengadakan pertemuan secara dalam talian bersama pelajar-pelajar OKU UPM dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, selama kira-kira sejam pada 7 April lalu.

Sementara itu, Dasar Inklusif OKU UPM yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullai diwujudkan pada 8 Disember 2020 telah merangsang tindakan UPM dalam menyantuni keperluan mahasiswa OKU di universiti. - UPM

SXDdQA7~