| Universiti Putra Malaysia

Senator Datuk Idris Ahmad santuni 100 pelajar asnaf UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 27 April - Seramai 100 orang pelajar asnaf Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan sempena sambutan Aidilfitri yang telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Pelajar UPM.

Majlis yang bertemakan “Mensyukuri Ramadan, Meraikan Aidilfitri” itu merupakan kesinambungan daripada program kerjasama Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) dan QSR Brands (M) Holdings Bhd dalam misi agihan bantuan dan pemindahan ilmu kepada komuniti terutamanya keluarga asnaf.

Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata warga UPM sangat berbesar hati serta berterima kasih kepada semua pemberi sumbangan sama ada berbentuk wang tunai, makanan, kelengkapan, buah tangan mahupun tenaga kerja.

“Semoga sumbangan ini membolehkan pelajar asnaf menyambut Aidilfitri 2022 dengan penuh kesyukuran dengan mengambil keberkatan Ramadan dan meraikan pelajar asnaf UPM,” katanya di Dewan Philip Kotler, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM di sini hari ini.

Sementara itu, Idris Ahmad berkata sumbangan yang diberikan oleh QSR serta beberapa individu daripada alumni SPE UPM dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar semua di samping memenuhi hak mereka.

"Yang kita maklum ramai kalangan pelajar B40 sebenarnya masih majoriti yang terdapat di IPTA sebenarnya, sebab tu dengan adanya kerjasama daripada pihak korporat seperti begini Insyallah sekurang-kurangnya meringankan apa yang di alami oleh mereka," katanya.

Dalam pada itu, penyampaian replika Cek Agihan Bantuan QSR-SPE bernilai RM150,000.00 turut diberikan dalam majlis tersebut oleh Group CFO, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Khairul Izzad Mohammed Shamsuddin kepada dekan SPE Prof. Madya Dr. Bany Ariffin Amin Nordin.

Turut hadir Presiden Persatuan ALUMNI UPM, Dato' Raihan Sharif dan ahli jawatankuasa pengurusan universiti.

SXDdEAj~