| Universiti Putra Malaysia

Senaman ‘ubat’ panjang umur, tingkat kesihatan diri

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar  

SERDANG, 2 Jun – Aktiviti fizikal terutamanya senaman adalah antara ‘ubat’ mujarab yang bukan sahaja boleh menjadikan individu panjang umur malah ianya meningkatkan kesihatan diri untuk kekal aktif walaupun berusia.

Pensyarah Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Soh Kim Geok berkata, senaman perlu dijadikan gaya hidup rakyat Malaysia bagi mencegah peningkatan kadar obesiti serta penyakit kardiovaskular (CVD) dan diabetes.

“Malaysia kini direkodkan sebagai juara penduduk tergemuk di ASEAN dan ini sangat membimbangkan jika masyarakat tidak mula membudayakan senaman dalam kehidupan kerana ini adalah asas dalam mengekalkan kesihatan yang baik selain dari jaga pemakanan kita,” katanya semasa menyampaikan Syarahan Inaugural beliau iaitu “Exercise As Medicine: Understanding The Science of Movement and Unlocking Longevity” di sini.

Beliau berkata, memahami sains di sebalik pergerakan dan panjang umur boleh membantu masyarakat tingkatkan kualiti kesihatan serta menjadikan senaman sebagai rutin seharian mereka.

“Masyarakat kita perlu ada kesedaran pentingnya dalam membudayakan senaman dalam kehidupan dan perkara ini perlu bermula dari rumah serta mendidik generasi muda terutamanya kanak-kanak untuk melakukan aktiviti ini,” katanya.

Prof. Dr. Soh Kim Geok turut menggalakkan individu memulakan dengan aktiviti berjalan dengan mencapai 10,000 langkah dalam sehari.

“Pada zaman ini kita ada pelbagai gajet untuk bantu mengukur perkembangan kesihatan kita yang mempunyai pelbagai fungsi yang dapat memantau secara langsung dan memberi informasi tahap kesihatan” katanya.

Tambah beliau, senaman orang lebih dewasa harus memasukkan gabungan senaman aerobik, latihan kekuatan, senaman keseimbangan dan senaman fleksibiliti dalam rutin mereka yang akan memberikan kesejahteraan fizikal serta mental secara keseluruhan dalam menikmati kualiti hidup yang baik.

“Ini telah dibuktikan pada konsep Jepun iaitu “Ikigai” aktiviti fizikal yang kerap untuk mengekalkan kesihatan yang baik dan mencegah penyakit kronik serta meningkatkan jangka hayat,” katanya.

Dalam syarahannya itu, Prof. Dr. Soh Kim Geok turut membincangkan berkenaan ‘Sitting is the New Smoking’ yang merupakan salah satu ancaman kesihatan di tempat kerja masa kini. Ianya memberi kesan buruk kepada tubuh badan manusia akibat duduk terlalu lama di tempat kerja. Justeru, setiap pekerja digalakkan untuk melakukan pergerakan atau senaman ringan bagi mengurangkan kesan ini.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari dan Dekan FPP, UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar. – UPM

SXDdMAf~