| Universiti Putra Malaysia

Seminar BiHSED angkat kedudukan Pendidikan Sains Rumah Tangga

Oleh Yus Sharmiza Yushriman

Foto oleh Marina Ismail

SERDANG, 25 April – Seminar Dwi Tahunan Pendidikan Sains Rumah Tangga (BiHSED) 2019 yang memberi penekanan terhadap penanda aras bidang Pendidikan Sains Rumah Tangga (PSRT) di negara membangun mengenai amalan lestari dalam PSRT diadakan di Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Dr. Aida Suraya Md. Yunos ketika merasmikan seminar itu berkata program berkenaan mampu melonjakkan lagi guru dan perintis dalam bidang itu sama ada dalam pengajaran mahu pun karier.

Selain membincangkan bagaimana guru PSRT boleh mendapat tempat yang selayaknya di dalam bidang pendidikan, Prof. Dr. Virginia B. Vincenti dari University of Wyoming dalam ucaptamanya, membandingkan kedudukan guru pendidikan rumah tangga di Amerika Syarikat dan Malaysia.

Pensyarah dari Fakulti Sains Teknologi Makanan, UPM, Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim, juga seorang chef selebriti mengupas mengenai pemuliharaan makanan warisan di kalangan generasi millennial di dalam tajuk The Sustainability of Malaysia Heritage Foods among the Millennials.

Menurut kajian yang dijalankannya, tiga faktor penting yang menyumbang kepada terbentuknya makanan warisan Malaysia pada hari ini ialah pengaruh daripada Empayar Melaka, akulturasi dan asimilasi daripada pelbagai etnik dan juga pertukaran herba dan rempah ratus daripada pedagang asing.

Pembentangan Poster Inovasi Pengajaran dan Produk dan Pameran Pakaian Kanak- kanak turut diadakan bagi melonjakkan kebolehpasaran subjek ini di persada antarabangsa sekali gus mencapai objektif program untuk berkongsi hasil inovasi dan pengajaran dan produk.

 

Hasil kerja para pembentang yang memenangi pertandingan poster itu dipamerkan di foyer Blok I bersama pameran pakaian kanak-kanak hasil kerja tangan pelajar- pelajar yang mengambil subjek PSRT.

Bengkel pedagogi dan forum bertajuk Outcome-Based Education dalam PSRT turut diadakan bagi mempraktikkan teori yang dipelajari daripada ceramah yang diberikan. - UPM

SXEXWAp~