| Universiti Putra Malaysia

Semangat oleh penyelia beri kekuatan YB Dr. Ripin tamatkan pengajian Ph.D

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 22 Mac: Dalam kekangan masa untuk tugas politik, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr. Ripin Lamat, berjaya menamatkan pengajian, dan hari ini menerima Ijazah Kedoktoran (Ph.D) pada majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45.

Dr. Ripin, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir, berkata, beliau hampir berputus asa untuk meneruskan pengajian semasa di tahun tiga (2019) kerana keletihan tetapi bangkit selepas mendapat suntikan semangat dan dorongan daripada ketua penyelia dan rakan-rakan seperjuangan.

“Kerja politik tidak mengira waktu, jadi saya kena susun masa dengan baik. Saya buat jadual lima hari untuk politik dan dua hari untuk belajar.

“Cabaran tugas politik sangat kuat, jadualnya padat. Memang meletihkan kerana pada masa yang sama, saya perlu belajar, Alhamdulillah, saya berjaya melaluinya,” katanya.

Beliau berkata pada ketika kerajaan negeri Sarawak mengedarkan bantuan pada Jun 2021 kepada rakyat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada ketika itu juga beliau perlu melalui ujian VIVA.

“Walaupun perlu belajar, namun tanggungjawab yang digalas sebagai ahli politik mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Harapan masyarakat kepada kita tinggi,” katanya.

Dr. Ripin yang berasal dari Kampung Kepayang Tiris, Miri, Sarawak berkata, sebelum pelaksanaan PKP oleh kerajaan pada Mac 2020, beliau menaiki kapal terbang dua atau tiga kali sebulan untuk ke UPM untuk berbincang berkaitan pengajiannya.

Katanya, tempoh PKP selama hampir dua tahun dimanfaatkannya dengan menumpukan kepada pelajaran kerana ketika itu program politik berkurangan kerana tidak boleh berinteraksi secara bersemuka.

“Pengajian ketika itu juga dijalankan secara dalam talian,” katanya yang melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada UPM, serta masyarakat sekitar tempatnya yang memberi kerjasama ketika penyelidikannya untuk Ph.D itu.

Dr Ripin berkata, beliau adalah daripada keluarga petani, dan kedua ibu bapanya adalah pendorong kuat beliau dalam pelajaran.

Beliau berharap setiap orang, terutama generasi muda supaya menanam sikap untuk rajin menuntut ilmu.

“Sumber kejayaan adalah melalui ilmu, dan untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih baik juga mesti daripada ilmu,” katanya. - UPM       

WXEZCAZ~