| Universiti Putra Malaysia

Sebelum berbuka masa sesuai untuk menurunkan berat badan.

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 

 

SERDANG, 21 April - Umum mengetahui bahawa tiada halangan untuk bersenam sepanjang bulan Ramadan yang penuh mulia ini.

Timbalan Pengarah Akademi Sukan (Pengembangan Atlet dan Staf), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata bersukan ketika berpuasa membolehkan individu itu lebih cepat membakar kalori dan menurunkan berat badan.

“Waktu yang sesuai adalah sebelum berbuka. Ini adalah waktu yang paling baik bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan kerana waktu ini kita akan membakar lemak dan menggunakan sisa tenaga.

“Setelah bersenam kita boleh makan semasa berbuka puasa dan makanan yang kita makan akan menggantikan tenaga yang telah hilang. Namun perlu diingatkan, kita tidak boleh memaksa diri kerana dikhuatiri akan berlakunya dihidrasi,” katanya.

Beliau menyarankan tempoh senaman dilakukan tidak melebihi 60 minit asalkan tidak letih dan pening semasa melakukan senaman bagi memastikan tubuh badan kekal bertenaga sepanjang hari.

Katanya, selepas berbuka puasa juga adalah waktu yang baik untuk melakukan senaman dan durasi senaman boleh lebih daripada 60 minit.

“Tetapi untuk bersenam selepas berbuka kita perlu memastikan makanan yang dimakan telah dihadam dengan baik.

“Bagi mereka yang mahu mengekalkan kesihatan dengan optimum, senaman hendaklah dilakukan dengan intensiti yang rendah atau ringan. Bersenam selepas sahur adalah baik untuk menjaga kecergasan badan sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya.

Tambah beliau, lazimnya bagi seorang atlet mereka tiada masalah untuk melakukan senaman pada waktu pagi memandangkan badan mereka sudah terbiasa dengan latihan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar setiap individu yang berpuasa tidak bersenam secara berlebihan bagi membolehkan aktiviti lain dapat dilakukan sehingga tiba waktu berbuka puasa. - UPM

SXEYNAb~