| Universiti Putra Malaysia

SATU-SATUNYA ETNIK PENAN KAMPUNG LONG MERAAN RAIH IJAZAH

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 22 Mac - Perjalanan selama lapan sehingga 10 jam dari rumah keluar ke bandar Miri tidak menghalang Kelvin Niyok, 25, untuk menjadi satu-satunya etnik Penan Sarawak dari Kampung Long Meraan, Baram, Sarawak untuk meraih ijazah.

Beliau yang merupakan graduan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian berkata dengan kejayaan yang diraih hari ini akan dapat mengubah nasib suku kaum minoriti di Sarawak itu menjadi lebih baik.

“Apabila saya menjadi orang pertama yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti saya telah merancang daripada awal untuk berjaya dan tunjukkan pada kaum saya bahawa pendidikan bukan  untuk segelintir masyarakat sahaja.”

“Saya ada tanggungjawab kepada suku kaum saya kerana kita yang akan menentukan generasi akan datang,” katanya selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45, hari ini.

Bagaimanapun, Kelvin mengakui bahawa pernah merasa berputus asa ketika semester pertama pengajian ijazahnya apabila tidak berjaya mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.00.

“Saya hampir untuk berhenti belajar tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang memberi semangat serta saya bertekad untuk meningkatkan prestasi pada semester kedua dan akhirnya saya berjaya melepasi 3.75 pada semester kedua.”

“Bagi saya di mana kita ada tekad, kejayaan itu pasti akan ada. Pesanan saya kepada anak-anak Penan ambillah peluang untuk melanjutkan pelajaran bagi menaikkan lagi suku kaum kita,” katanya.

Sebelum ini, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kejuruteraan Pertanian di UPM Kampus Bintulu (UPMKB) dan bergraduat pada tahun 2018. - UPM

WXESNAc~