| Universiti Putra Malaysia

‘SATREPS-COSMOS Demonstration Site’ di UPM dirasmikan

Oleh:  Azman Zakaria
Gambar oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar  

SERDANG, 25 Feb: SATREPS-COSMOS Demonstration Site, yang menempatkan pelbagai teknologi SATREPS-COSMOS termasuk pengkulturan mikro alga secara terbuka berkos rendah, kitar semula nutrien, sistem penjanaan ammonia tulen dan sistem akuakultur pengedaran-semula piscoponic (P-RAS), dirasmikan hari ini.

Terletak di Ladang 15, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), SATREPS-COSMOS Demonstration Site itu menggabungkan konsep fotobioreaktor mikro algae dengan sistem pengkulturan akuakultur, di mana mendapan enap cemar akuakultur daripada sisa udang dikitar semula melalui sistem pengkomposan yang menghasilkan ammonia bersih untuk pengkulturan algae.

Kompos yang matang itu akan digunakan sebagai baja untuk tumbuhan eurihalin seperti pokok mangga dan tin. Algae yang dikultur itu juga boleh digunakan sebagai makanan tambahan ikan.

SATREPS-COSMOS Demonstration Site itu dibangunkan di bawah projek SATREPS-COSMOS yang bertujuan menjalankan inovasi fotobioreaktor untuk ternakan mikro algae bernilai tinggi secara skala besar yang boleh digunakan dalam industri makanan, kosmetik, farmaseutikal, nutraseutikal, dan akuakultur.

Ia membabitkan 60 saintis Malaysia dan 20 saintis Jepun, empat universiti Jepun – Soka University, University of Tokyo, National Institute for Environmental Studies, dan Tokyo Institute of Technology – serta tiga universiti Malaysia – UPM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Selangor (UNISEL).    

Timbalan Naib-Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari berkata pengwujudan sistem pengkulturan mikro algae yang menggunakan nutrien sisa akuakultur yang dikitar semula itu berjaya dilaksanakan hasil kesungguhan dan kerja kuat setiap anggota projek di Jepun dan Malaysia.

“Ini usaha kita yang pertama untuk kultur mikro algae berkualiti tinggi dalam kuantiti yang besar secara fotobioreaktor tertutup luar. Di ‘Demonstration Site’ ini, hasil daripada semua penyelidikan yang berkaitan diintegrasikan bagi menghasilkan teknologi ternakan mikro algae mampan,” katanya pada majlis ‘Inauguration of SATREPS-COSMOS Demonstration Site,’ itu di sini.

Prof. Dr. Nazamid yang juga Pengarah STREPS-COSMOS Project berkata, kebanyakan mikro alge di pasaran adalah daripada kolam yang terdedah kepada konteminasi dan tidak sesuai untuk makanan, nutraseutikal, dan produk farmaseutikal.

Beliau berkata, pembangunan tekonologi baharu itu boleh mengurangkan masalah berkaitan kualiti mikro algae dan teknik kultur.

Katanya, walaupun ‘SATREPS-COSMOS project’ 2016-2022 akan berakhir pada 31 Mac 2022, aktiviti pasca-COSMOS akan diteruskan melalui pembentukan ‘Blue Seed Program’ yang bertujuan menjadikan pengkulturan mikro algae sebagai perniagaan sokongan yang penting untuk industri akuakultur.

“Saya juga difahamkan bahawa SATREPS dan JICA akan terus memantau prestasi aktiviti pasca-COSMOS selama antara tiga hingga lima tahun untuk menilai kejayaan aplikasi ‘SATREPS-COSMOS project’ di kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor, Kedutaan Jepun di Malaysia, Hosomi Masashi berkata beliau amat tertarik dengan ‘SATREPS-COSMOS project’ yang memacu untuk meningkatkan pengeluaran produk akuakultur dengan menambah baik kaedah pengkulturan dan penghasilan inovasi teknologi baharu.

“Oleh kerana SATREPS adalah skim untuk menzahirkan pelaksanaan sosial teknologi bagi menyelesaikan isu global, maka perasmian ‘Demonstration Site’ ini bukanlah matlamat terakhir, dan usaha berterusan diperlukan untuk mencapai matlamat yang disasarkan, termasuk melalui ‘Exit Strategy’ atau ‘Blue Seed Program’ sebagai aktiviti susulan,” katanya. - UPM

WXEZOA~