| Universiti Putra Malaysia

Saintis UPM uji sampel pengesan sinaran ke stesen angkasa antarabangsa

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

 

PUSAT ANGKASA TSUKUBA, 2 Nov – Pengesan sinaran yang menggunakan fiber optik pintar ciptaan tiga saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dihantar oleh Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA) bagi diuji di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tidak lama lagi.

JAXA akan menghantar pengesan sinaran UPM ke Amerika Syarikat pada bulan hadapan untuk dilancarkan ke ISS pada Februari tahun depan.

Sampel Pengesan fiber optik pintar tersebut yang dikenali sebagai Smart Optical Fibres for Passive Dosimetry in Space (SOFPADS).

Terdapat dua jenis sampel eksperimen UPM iaitu E-SOFPADS dan I-SOFPADS, masing-masing diuji selama 300 hari dan 360 hari itu di dalam dan di luar Modul Eksperimen Japan (KIBO) ISS ialah untuk melihat tindak balas fiber optik dalam mikrograviti terhadap tahap radiasi angkasawan yang bekerja di ISS.

E-SOFPADS akan didedahkan kepada sinar radiasi di luar ISS sekitar modul KIBO milik Jepun menggunakan fasiliti Experiment Handrail Attachment Mechanism (ExHAM) manakala I-SOFPADS akan didedahkan kepada sinar radiasi yang berada di dalam modul KIBO, ISS.

Setelah setahun, kedua-dua sampel pengesan dihantar semula ke bumi untuk dianalisis oleh UPM di Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear dan Makmal Dosimetri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Ketua penyelidik UPM ialah Dr. Noramaliza Mohd Noor dan Prof Madya Dr Fathinul Fikri Ahmad Saad, kedua-duanya dari Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear serta Dr. Nizam Tamchek dari Fakulti Sains. Penyelidik bersama dari Fakulti Kejuruteraan UPM, Universiti Multimedia, Universiti Malaya dan Universiti Sunway.

 

Projek penyelidikan bernama ‘Exposure Experiment Using Experiment Handrail Attachment Mechanism and the Passive Dosimeter for Life Science Experiments in Space on the Japanese Experiment Module’ itu dijalankan bersama JAXA di bawah perjanjian antara UPM dan Jaxa dan diselaraskan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA).

Pada majlis penyerahan SOFPADS oleh saintis UPM kepada JAXA pada 2 Nov lalu di sini, Dr Noramaliza mewakili  UPM telah menyerahkan SOFPADS yang akan dihantar ke ISS kepada Shiho Ogawa, Pengarah Pusat Penggunaan JEM dan Lembaga Pengarah Teknologi Penerbangan Angkasa Manusia, JAXA.

Projek yang ditaja oleh UPM di bawah Geran Berimpak Tinggi ini merupakan langkah pertama untuk memerhati tindak balas fiber optic terhadap radiasi di dalam persekitaran mikrograviti dan juga potensi sebagai pengesan sinaran pasif untuk digunakan di angkasa lepas.

Lazimnya pengesan sinaran pasif ini digunakan untuk memantau tahap radiasi yang diterima oleh angkasawan yang bekerja di ISS.

Rentetan daripada penyerahan sampel di Tsukuba, Dr. Noramaliza dan Prof Madya Dr. Fathinul Fikri juga telah membentangkan pengalaman dan cabaran yang dihadapi bagi melaksanakan projek ini di Asia-Pacific Regional Space Agency Forum (APRSAF-25), pada 7 November 2018, di Sheraton Hotel, Singapura. - UPM

SXETRAT~