| Universiti Putra Malaysia

RESQ HPUPM jadi pusat sehenti pertama bantu pesakit strok

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 27 Feb - Strok ialah penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia hari ini dan juga penyebab utama kehilangan upaya jangka panjang serius di kalangan orang dewasa.

Dalam mendapatkan keputusan klinikal pesakit strok yang lebih baik, strok perlu didiagnosis dan dinilai dengan segera supaya rawatan yang efektif dapat diberikan dalam tempoh beberapa jam selepas pesakit diserang strok.

Regional Emergency Stroke Quick Response (RESQ), Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) adalah pusat sehenti pertama seumpama di Malaysia ialah salah satu tunjang utama dalam penjagaan strok bertujuan menyediakan perkhidmatan strok hiperakut paling maju dan efektif, terutamanya dalam trombolisis perubatan dan trombektomi mekanikal.

Selain itu, rawatan tersebut dapat memulihkan aliran darah ke otak dengan segera serta menawarkan doktor yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk ahli saraf (neurologist), pakar kecemasan dan rehabilitasi.

RESQ HPUPM beroperasi sebagai barisan hadapan bagi kecemasan strok dan fungsi utama unit itu adalah untuk memberikan penaksiran dan penilaian segera akut bersama-sama dengan pasukan neurologi, radiologi serta radiologi intervensi serta memulakan rawatan akut yang sesuai.

Unit itu juga bertindak sebagai bahagian resusitasi dan penstabilan utama bagi sebarang situasi kecemasan perubatan yang berlaku di hospital dan pesakit digalakkan untuk tinggal di unit strok HPUPM serta diselia di dalam wad sehingga ke pusat rehabilitasi bagi membantu pesakit untuk pulih seperti sedia kala.

Sementara itu, penubuhan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah sejajar dalam merealisasikan peranan universiti dalam menghasilkan pakar serta fasiliti terbaik d negara dan cadangan untuk menubuhkan hospital tersebut telah bermula sejak awal penubuhan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM pada tahun 1996.

HPUPM juga berfungsi sebagai hospital pengajar ke-2 untuk FPSK, UPM bagi melatih profesional penjagaan kesihatan masa depan, menjalankan penyelidikan perubatan, serta memberikan perkhidmatan diagnostik dan rawatan canggih kepada masyarakat.

Tambahan lagi, bidang nic HPUPM diperkuatkan dengan empat perkhidmatan pakar iaitu Regional RESQ (Rawatan Strok), Zoonotik, Geriatrik dan prostat. Perkhidmatan Klinikal adalah terdiri daripada kategori perkhidmatan perubatan, perkhidmatan pembedahan dan perkhidmatan wanita dan kanak-kanak.

HPUPM secara langsung dapat meningkatkan peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan dan memperkukuhkan lagi peranan universiti kepada masyarakat melalui perkhidmatan yang akan memberikan nilai tambah kepada universiti kelak.

Projek pembinaan HPUPM telah dimulakan pada 11 September 2012 dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kerjasama kepada universiti bagi membina hospital berkenaan dan kemudiannya HPUPM diserah kepada universiti pada 15 Mei 2019 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

HPUPM telah memulakan operasinya kepada orang awam pada tahun 2020 untuk memberikan penjagaan perubatan yang komprehensif kepada komuniti, tanpa mengira status sosioekonomi.

Keseluruhan kapasiti wad hospital ini kini 400 katil serta memberi kemudahan kepada penduduk Serdang dan sekitarnya terutamanya dalam perkhidmatan pakar seperti strok, prostat, robotik dan sebagainya.

Terkini, HPUPM telah memperkenalkan Perkhidmatan Eksekutif iaitu perkhidmatan yang mempunyai kelebihan dalam manfaat penjagaan kesihatan dan meningkatkan keselesaan mengikut pilihan sendiri. Pesakit yang memilih perkhidmatan tersebut akan dikenakan bayaran bagi setiap rawatan atau prosedur yang dijalankan di HPUPM. - UPM

WXDcSAw~