| Universiti Putra Malaysia

Reban ayam canggih untuk ternakan ayam broiler

Oleh Azman Zakaria

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 5 Dis: Universiti Putra Malaysia (UPM), Malayan Flour Mills Berhad (MFM) dan AGCO GSI (M) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penyerahan dan pelancaran reban ayam tertutup untuk ayam broiler kepada UPM.

Reban ayam tertutup membabitkan kos RM750,000 itu disumbangkan oleh MFM dan AGCO GSI.

Bangunan bersaiz 62x12 meter itu dilengkapi sistem dan peralatan canggih termasuk perlatan seperti ‘raised floor pens’ ‘feeder,’ drinkers’ dan reban atau sangkar tiga tingkat.

Reban yang boleh menampung 7,500 ekor ayam pedaging itu juga dilengkapi sensor yang secara automatik mengawal suhu dan kelembapan reban.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, manakala MFM diwakili Pengarah Urusannya, Teh Wee Chye, dan AGCO GSI oleh Pengarah Urusannya Goh Bak Yan.  

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon; pengerusi MFM, Tan Sri Arshad Ayub dan Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini ketika berucap berkata, kemudahan (facility) itu boleh digunakan untuk pembelajaran dan penyelidikan, dan boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada pembangunan Revolusi Pertanian 4.0 (AR4.0) di UPM.

Katanya, UPM dengan kepakaran dalam sektor ternakan ayam komited membantu dalam meningkatkan pengeluaran dan kualiti ayam ternakan, seiring juga dengan matlamat MFM dan AGCO GSI.

Beliau berkata kerjasama itu akan membantu UPM mencapai matlamat memperkukuhkan rangkaian perkhidmatan industri dan komuniti, manakala penyelidikan yang dijalankan oleh pakar UPM dengan industri melalui program kolaborasi akan membantu industri menyelesaikan masalah di lapangan.

Sementara itu, Tan Sri Arshad dalam teks ucapan yang dibacakan Teh Wee Chye berkata, reban ayam tertutup itu akan membolehkan penyelidik dan pelajar menjalankan penyelidikan dalam keadaan yang persekitaran terkawal (environmental controlled conditions) di dalam kampus UPM.

Katanya, pelajar akan merasai pengalaman bagaimana penternakan ayam dalam persektiaran terkawal dilakukan, yang akan meningkatkan lagi ilmu dan pemahaman mereka dalam menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan. - UPM

SXEbHAi~