| Universiti Putra Malaysia

Rawatan Teknik Neuro Intervensi sembuhkan strok

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mozaid Idris
 
 
SERDANG, 24 Dis – Di Malaysia, penyakit strok adalah penyebab ketiga kematian dan purata sekurang-kurangnya seorang pesakit meninggal dunia setiap jam akibat penyakit tersebut.
 
Melalui teknologi rawatan terkini, penyakit strok mempunyai potensi untuk dirawat dengan menggunakan teknik Neuro Intervensi iaitu prosedur rawatan yang melakukan satu tebukan kecil pada salur darah di bahagian paha bagi melakukan angiogram salur darah otak.
 
Pensyarah Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ahmad Sobri Muda berkata prosedur endovaskular dilakukan melalui tebukan kecil pada salur darah yang akan dimasukkkan pada salur darah menggunakan satu alat khas bagi menarik keluar atau menyedut darah beku yang menyumbat salur darah pada otak.
 
Teknik ini (trombektomi endovascular) perlu dilakukan dengan segera dan teliti untuk memastikan pesakit selamat serta meningkatkan harapan pesakit pulih," katanya ketika menyampaikan Syarahan Inaugural beliau yang bertajuk ‘Neuro Intervensi’ di Dewan Kuliah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.
 
 
Tambah beliau, teknik rawatan itu boleh diberi dalam tempoh masa 24 jam selepas gejala strok bermula berdasarkan maklumat pengimejan.
 
"Teknik ini adalah cara rawatan tambahan atau kombinasi kepada rawatan menggunakan ubat pencair darah yang dikendalikan oleh pakar neurologi, bagi pesakit yang mengalami strok akut,”, katanya.
 
Sementara itu, Hospital Pengajar (HPUPM) memiliki kepakaran neuro intervensi bagi merawat penyakit strok di pusat sehenti Unit Tindak Balas Pantas Strok Kecemasan Serantau (RESQ) HPUPM yang menawarkan perkhidmatan bagi membantu pesakit berkaitan strok berterusan lebih daripada 24 jam bergantung kepada jenis rawatan. - UPM

WXDdWAr~