Raja Muda Perlis Berkenan Sempurnakan Majlis Pecah Tanah Padang Besbol | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Raja Muda Perlis berkenan sempurnakan Majlis Pecah Tanah Padang Besbol

Raja Muda Perlis berkenan sempurnakan Majlis Pecah Tanah Padang Besbol

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 24 Okt – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Padang Besbol UPM yang pertama dalam negara di Pusat Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Baginda yang juga Penaung DiRaja Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) mengucapkan tahniah kepada UPM atas inisiatif membina fasiliti Padang Besbol di kampus UPM Serdang yang akan memberi banyak manfaat kepada penggiat sukan itu sama ada di dalam atau luar negara.

Titah baginda, sebagai sebuah IPT yang hebat dalam sukan dan akademik, UPM perlu terus bersungguh-sungguh menempatkan sukan Besbol di dalam takwim kejohanan untuk latihan-latihan kepegawaian serta ‘talent scouting’ setara dengan sukan-sukan lain di negara ini.

“UPM dan BFM juga telah mengadakan kerjasama strategik dengan Kelab Seibu Lions dari Jepun. Beta harap akan ada lebih banyak kerjasama dengan pihak industri lain di masa hadapan,” titah baginda.

Sebelum itu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zulkifli Idrus; Pendaftar, Dato’ Wan Azman Wan Omar; Ketua Pustakawan UPM, Muzaffar Shah Kassim; dan Ketua Pusat Sukan UPM, Dr. Hanafiah Ayub.

Prof. Dr. Mohd Roslan dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada BFM atas kerjasama menjayakan program sukan Besbol di UPM.

“Persetujuan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan BFM akan membangunkan sukan Besbol secara aktif di UPM khususnya dalam menyediakan program pembangunan sukan itu,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Sukan UPM dengan kerjasama BFM dan Kementerian Pendidikan menganjurkan kursus kejurulatihan dan kepegawaian bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri sukan Besbol, yang akan memberi impak positif di dalam pembangunan sukan itu.

“Usaha memperkenalkan sukan Besbol di kalangan pelajar sekolah juga telah dilaksanakan. Pusat Sukan UPM kini mempunyai empat buat sekolah angkat bagi sukan itu di Selangor,” katanya.

Usaha Pusat Sukan UPM telah menyakinkan Kelab Besbol Seibu Lions, Jepun untuk menyumbang peralatan Besbol pada tahun ini kepada Pusat Sukan bagi membantu menjayakan program pembangunan sukan itu daripada pelbagai peringkat demografi dan pendidikan.

Sukan Besbol mula bertapak di UPM pada 2015. UPM mempunyai satu pasukan Besbol lelaki serta dua jurulatih dari Jepun dan dibantu oleh jurulatih tempatan.

Pada 2016 buat julung kalinya UPM menganjurkan Kejohanan Besbol Jemputan Antarabangsa yang disertai pasukan Besbol Lelaki UPM, kelab-kelab Besbol Malaysia dan dua kelab Besbol Akademi dari India.

UPM juga mempunyai dua atlet Besbol wanita dalam pasukan Besbol Wanita negara yang menyertai Kejohanan Blueseeds Cup International, Taipei pada Mel lalu. - UPM

 

Tarikh Input: 04/11/2019 | Kemaskini: 04/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJVJAo:09:36