| Universiti Putra Malaysia

Putra Outreach Physics pupuk minat subjek fizik pelajar perempuan SMSTR

Oleh: Ain Nabihah Mohd Padaliah

SERDANG, 18 Mei - 88 orang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Sains Perempuan Seremban (Sekolah Menengah Sains Tuanku Rohani) telah menyertai Program Outreach Physics ke-13, di sini baru-baru ini.

Bertemakan ‘Physics for Girls’, program ini bertujuan untuk memupuk minat yang mendalam dalam subjek Fizik khususnya dalam kalangan pelajar perempuan.

Ketua program yang juga merupakan pensyarah Jabatan Fizik UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata, rata-rata pelajar sekolah mempunyai tanggapan bahawa subjek Fizik adalah sukar dan membosankan.

“Ramai pelajar kini hanya menghafal formula dan definisi tanpa memahami konsep Fizik itu sendiri. Ini menyebabkan pelajar tertekan apabila menghadapi peperiksaan. Pendekatan baru yang diperkenalkan dalam Putra Outreach Physics ini diharapkan dapat menyemai minat pelajar terhadap subjek Fizik.”

“Sekolah all girls ini terpilih kerana kebanyakan pelajar perempuan tidak menggemari subjek Fizik. Tugas yang berat ini telah dilaksanakan oleh kami semua dalam memupuk minat subjek Fizik dalam kalangan pelajar perempuan,” kataya.

Ketua fasilitator program, Ahmad Danish Iskandar berkata, program ini memberi pendedahan yang sangat baik dalam mengasah kemahiran insaniah kepada pelajar.

“Program ini memberi pengalaman untuk saya dan rakan-rakan dalam mengenadlikan program sebegini serta mempelajari pelbagai ilmu seperti berkomunikasi dengan cara betul di khalayak ramai berkenaan sains,” katanya.

Seramai 31 orang fasilitator dari Jabatan Fizik UPM telah terlibat dengan perlaksanaan pelbagai aktiviti yang menarik dan seronok sepanjang dua hari kem ini dijalankan.

Katanya, kebanyakkan aktiviti secara fizikal untuk membantu pelajar sekolah memahami konsep-konsep fizik secara interaktif.

“Antara slot yang diadakan ialah Pelakuran Nukleus, Aerofizik, Physicstorm, Accelerace, The Magical Night of Physics dan Detective Physics,” katanya.

Sementara itu, Ketua Panitia Fizik sekolah, Zaihasra Azwa Zaharim menyifatkan program itu sebagai program Fizik yang sangat kreatif dan inovatif.

 “Pelbagai ilmu dan input baharu telah dikongsi bersama mereka melalui cara pembelajaran yang menyeronokkan. Saya lihat pelajar saya sangat seronok menyertai aktiviti seperti ini,” katanya.

Seorang peserta program, Nik Nur Aisya, berkata program itu telah memberi inspirasi kepadanya untuk tidak berputus asa malah membuatnya yakin untuk skor di dalam subjek Fizik.

“Pada mulanya saya berasa ingin berputus asa dengan subjek Fizik. Namun, setelah saya sertai program ini, dengan aktiviti yang sangat seronok dan galakan yang sangat baik daripada fasilitator UPM, saya menjadi lebih yakin dan percaya bahawa subjek Fizik ini mudah dan seronok untuk dipelajari. Saya juga yakin bahawa kami semua boleh skor A+ dalam subjek Fizik selepas menyertai program ini,” katanya. - UPM

WXETIAO~