PUTRA Frame, Bingkai Daripada Gentian Teras Kenaf, Plastik Industri | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » PUTRA Frame, bingkai daripada gentian teras kenaf, plastik industri

PUTRA Frame, bingkai daripada gentian teras kenaf, plastik industri

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Saleha Haron

 

SERDANG, 13 Mac: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan bingkai diperbuat daripada gentian teras kenaf dan plastik industri, yang dipanggil PUTRA Frame.

Bingkai itu yang tidak toksik kepada manusia dan mesra alam, juga boleh dibiourai oleh microb.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Ir.Dr.Mohd Sapuan Salit berkata, PUTRA Frame juga mempunyai kekuatan hentaman yang tinggi disebabkan kehadiran gentian teras kenaf dan mudah dibawa ke mana sahaja kerana ianya ringan.

“Ia juga boleh digunakan secara fleksibel sama ada dalam kedudukan landskap atau potret serta boleh ditegakkan di atas meja atau digantung pada dinding.

“Rekaan komponen logo UPM juga versatile yang boleh diubah kedudukannya mengikut keperluan dan kesesuaian,” katanya pada Hari Terbuka Inovasi (IOD) Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) 2019 di sini.

Beliau berkata PUTRA Frame telah didaftar serta mendapat perlindungan harta intelek, dan sedia untuk dikomersialkan

Menurutnya, inovasi itu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kebaikan penggunaan bahan biokomposit dalam kehidupan seharian bagi memelihara alam sekitar dan kesihatan.

 

Inovasi itu adalah hasil kolaborasi antara INTROP dengan Fakulti Reka Bentuk dan Senibina (FRSB), Pejabat Bursar dan Pelajar Asnaf di UPM. Selain beliau, ahli-ahli kumpulan penyelidik itu ialah Prof. Dr, Paridah Md. Tahir (INTROP) sebagai Penasihat; Dr Ahmad Adlie Shamsuri dan Dr. Syeed SaifulAzry Osman Al-Edrus (kedua-duanya penyelidik dari INTROP); Mohd Shazwan Jamhari (Pegawai Sains, INTROP); Mohd Hifizie Manap (Penolong Pegawai Sains INTROP); dan Dr. Hassan Ali (FRSB) reka bentuk.

Sementara itu ketika merasmikan majlis IOD INTROP 2019 itu, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pusat Kecemerlangan (CoE) Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPT, Kementerian Pendidikan, Shahril Nizam Idris berkata, penyelidik dan pemegang taruh IPT mesti mengeksploitasi  idea untuk melahirkan inovasi yang kreatif dan membangunkan produk yang boleh dipasarkan melangkaui sempadan.

Katanya, peranan IPT bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga menghasilkan inovasi melalui penyelidikan yang dijalankan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zulkifli Idrus pula berkata, hubungan kerjasama akademia dan industri mesti sentiasa dipertingkatkan kerana ia merupakan satu bentuk platform dalam menyampai serta menyebarluaskan informasi.

Katanya, hubungan kerjasama itu adalah elemen penting yang boleh memperkasakan universiti sebagai pusat sehenti gedung ilmu, tempat inovasi dan perkongsian ilmu, seterusnya dapat mengetengahkan inovasi yang boleh menyumbang kepada kekayaan negara. - UPM

 

Tarikh Input: 21/03/2019 | Kemaskini: 21/03/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566718693