| Universiti Putra Malaysia

PUTRA Bakti hulur bantuan mangsa kebakaran Taman Serdang Raya

 

 Oleh Azman Zakaria

SERDANG, 6 Feb: Enam keluarga mangsa kebakaran di Taman Serdang Raya, di sini, menerima sumbangan barang-barang keperluan daripada PUTRA Bakti, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Sumbangan berupa barang-barang keperluan itu diberi dalam empat bentuk iaitu PUTRA Kit 1 (penjagaan kesihatan dewasa) berupa sabun mandi, berus gigi, ubat gigi, tuala mandi dan tuala wanita; PUTRA Kit 2 (penjagaan kanak-kanak) berupa sabun mandi, berus gigi, ubat gigi, bedak, losyen calamine, tuala mandi dan lampin pakai buang); PUTRA Kit 3 (penjagaan bayi) berupa bedak, sabun mandi, minyak telon, tisu basah, tuala kecil, putik kapas, losyen calamine dan lampin pakai buang; dan PUTRA Kid 4  (solat) berupa sejadah, kain pelekat, kain batik, kain sembahyang wanita dan kopiah.

Ia adalah misi bantuan kemanusiaan 3D UPM 4.0 (Derma, Dorongan & Doa) yang dijalankan oleh PUTRA Bakti untuk membantu masyarakat atau individu yang memerlukan bantuan. Dana sumbangan disalurkan oleh orang ramai.

Sumbangan itu disampaikan oleh wakil PUTRA Bakti, Ahmad Hisham Ayob di Balai Raya taman itu di sini, kepada Norhayati Awang; 49; Hassan Jantan, 63; dan Mohd Sobirin Kamarulzaman, 30. Sumbangan untuk tiga lagi keluarga diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk disampaikan kepada mangsa.

Mangsa-mangsa kebakaran itu menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan PUTRA Bakti kerana ia membantu dan meringankan bebanan mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, rumah-rumah mangsa musnah dalam kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.  Semua 26 mangsa daripada enam keluarga itu di tempatkan sementara di Balai Raya, Taman Serdang Raya.

Ketika kejadian, Norhayati dan suaminya, Zulkifli Alias tiada di rumah kerana menghantar anak dan cucu ke sekolah.

Zulkifli berkata, beliau menerima panggilan telefon kira-kira jam 12.30 tengah hari yang memaklumkan kebakaran itu dan bergegas pulang, tetapi tidak dapat menyelamatkan barang-barang.

Menurutnya, cucunya Mohd Danny ternampak api di tingkat atas ketika hendak mengambil pakaian, lantas turun semula sambil memberitahu makciknya Nordiana Zulkifli dan berlari keluar.

Hassan pula berkata, ketika kejadian beliau sedang beristirahat di ruang tamu rumahnya apabila terdengar orang menjerit ‘api, api’ dan bergegas ke luar rumah bersama ahli keluarga.

Seorang lagi mangsa, Mohd Sobirin berkata, beliau ketika itu sedang bertugas di Cyberjaya apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan kebakaran itu dan memintanya bertenang.

Di sebalik kejadian itu, katanya, beliau tetap bersyukur kerana isteri dan tiga anak mereka termasuk bayi berusia dua bulan, serta adik iparnya selamat.

Katanya, barang-barang di tingkat atas hampir semua musnah kecuali almari tempat menyimpan al-Quran. – UPM

 

 

  

      

  

      

SXDdCAW~