| Universiti Putra Malaysia

Pupuk minat generasi muda terhadap makanan tradisional Melayu

Oleh Siti Nur Amanina Nazri

Foto Oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 6 Nov – Muzium Warisan Melayu (MWM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pesta Makanan Tradisional 2019 bertujuan mengangkat martabat makanan tradisional Melayu serta memupuk minat generasi muda terhadap keunikan penyediaannya.

Program itu bertujuan mendedahkan peserta dan pengunjung mengenai kepelbagaian jenis makanan tradisional Melayu di Malaysia serta membuka peluang kepada mereka untuk menimba ilmu berkaitan penyediaan makanan Melayu yang menggunakan kombinasi daripada bahan semula jadi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zulkifli Idrus berkata, melalui program itu beliau berharap dapat memberikan suntikan kepada industri makanan tradisional dan melahirkan modal insan yang berjati diri kebangsaan dan patriotik.

“Kesedaran mengenai kepentingan memelihara resepi turun temurun Melayu yang semakin hilang dibawa arus permodenan diharap dapat dikembalikan serta ditanam kembali ke dalam jiwa generasi masa kini,” katanya.

Turut hadir Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Prof. Madya Dr. Mohd Azidan Abdul Jabar dan Penyelaras MWM yang juga Pangarah Program Pesta Makanan Tradisional Melayu 2019, Rahimah Hamdan.

Sebanyak 30 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional Melayu dibuka ketika program itu, antaranya jualan nasi kerabu, ikan patin masak tempoyak dan cendol gula anau. Beberapa pertandingan, pameran yang melibatkan beberapa agensi dan demonstrasi masakan tradisional turut diadakan.

Pelajar Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu, FBMK, UPM, Aliyatul Husna Shamsuddin, berkata generasi muda masa kini semakin hilang minat terhadap makanan tradisional Melayu kerana beranggapan penyediaannya agak rumit.

Katanya, generasi muda juga lebih terdedah kepada sajian moden sehingga melupakan sajian tradisional.

“Dengan adanya program sebegini dapat memberikan kesan kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Setiap usaha untuk memartabatkan makanan tradisional Melayu harus disokong oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan kaum,” katanya.

Rakannya, Nadiah Jamaludin, berkata program seperti itu membolehkan generasi muda menikmati keenakan dan mengetahui kepelbagaian makanan tradisional Melayu, sekaligus boleh mengekalkan makanan tradisional warisan turun temurun. – UPM

WXEaDAT~