| Universiti Putra Malaysia

Psikologis UPM menang anugerah di Tehran

TEHRAN, 14 Julai - Ketua Jabatan Psikiatri dan pakar psikologi klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Firdaus Mukhtar meraih anugerah utama geran peralatan penyelidikan di Mesyuarat Antarabangsa Neurosains dan Elektrofisiologi di Tehran, Iran yang berlangsung pada 9 hingga 14 Jun, 2019 baru-baru ini.

Selain hadiah geran, beliau menerima sijil dan plak yang disampaikan oleh Dr Mohamed Norbakshah, Pengarah Urusan Science Beam selaku penganjur.

Kemenangan beliau kerana pembentangan penyelidikan ilmiah pembentukan profil neuropsikologi bagi pesakit Kecelaruan Personaliti Borderline (Psikiatri), Tinnitus (Audilogi) dan Diabetes Mellitus (Perubatan) bagi memahami gangguan kognitif pesakit yang sukar dirawat.

Antara kriteria utama dalam penilaian geran itu adalah ketepatan masa pembentangan, kualiti kumpulan penyelidik, keupayaan aplikasi Neurofeedback atau Biofeedback sebagai penilaian dan kolobarasi antarabangsa yang konsisten.

Selain itu pemenang dipilih berdasarkan rancangan penyelidikan mereka, mempunyai Ph.D dalam bidang neurosains, fisiologi, farmakologi, psikologi, kejuruteraan perubatan dan disiplin berkaitan.

Penyelidik bersama dalam projek itu terdiri daripada Prof. Madya Dr Normala Ibrahim dan Dr Soh Kwong Yan (Pakar Psikiatri), Prof. Hamidon Basri (Pakar Neurologi), Prof. Madya Dr Subha Tekaschy Sethu (Pakar ORL) dan Dr Ooi Cheow Peng (Pakar Endokrinologi), kesemuanya dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Terapi biofeedback dan neurofeedback dilengkapi dengan biosensor, rakaman ketepatan tinggi, bateri boleh dicas semula dengan pemindahan data tanpa wayar mudah alih. Peralatan E-Wave yang dimenangi oleh Prof. Dr Firdaus boleh mengukur pelbagai isyarat fisiologi seperti gelombang otak, ketegangan otot, kadar degupan jantung, nadi denyut darah, konduktans kulit dan suhu badan.  E-wave adalah teknologi yang memberikan gambaran yang sangat tepat mengenai isyarat dalam julat frekuensi yang luas (0-500 Hz). Terapi Neurofeedback boleh membantu seseorang yang mempunyai masalah tekanan, kemurungan, kerisauan, ADHD, Autisme, ketagihan, migrain, dan enuresis.

Seramai 120 para penyelidik yang terdiri daripada pakar perubatan, pakar psikiatri, pakar psikologi, pakar fisiologi manusia dan haiwan serta pelajar-pelajar pasca siswazah dari negara-negara Islam seperti Iran, Iraq, Oman, Lebanon, Afghanistan telah membentangkan kajian ilmiah dalam mesyuarat antarabangsa itu.

Mesyuarat lima hari yang ditaja oleh Science Beam iaitu syarikat terkemuka dalam industri neurosains di Iran itu memberi pendedahan dalam bidang neurosains dan elektrofisiologi untuk manusia dan penyelidikan haiwan.  

WXEZFAN~