| Universiti Putra Malaysia

Projek Agrovoltaic UPM terima Malaysia Book of Records

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar


SERDANG, 10 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menerima sijil Malaysia Book of Records (MBR) sempena penanaman Agrivoltaic herba terbesar untuk mekanisme penyejukan semula jadi.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato' Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata projek Agrivoltaic UPM menempatkan 25,000-unit herba berpotensi tinggi Misai Kucing yang ditanam secara terus di ladang solar yang menggunakan teknologi solar fotovoltaik (PV) di Puchong.

 

“Penyelidikan itu memfokuskan kepada mengoptimumkan penggunaan ruang dan membantu menyejuk panel bagi meningkatkan keberkesanan janaan tenaga ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“"Saya sarankan kepada penyelidik bukan hanya tumpukan pada tanaman herba Misai Kucing, malah turut menumpukan tanaman herba lain pada masa akan datang.” katanya pada majlis penyampaian sijil MBR.

Projek yang diketuai Ir. Dr. Mohammad Effendy Ya’acob berkata, projek tersebut merupakan satu projek tanaman terbesar yang memanfaatkan ladang solar di Malaysia.

“Negara ini mengalami ketandusan tanah agrikultur apabila banyak tanah tersebut telah ditukar taraf kepada tanah pembangunan.

“Projek berskala besar ini juga selari dengan hala tuju Kampus Hijau UPM dan memperkukuhkan kedudukan UI Green Metric dalam kalangan universiti di seluruh dunia,” katanya.

 

Selain 25,000 Misai Kucing, beberapa jenis pokok lain sedang dikaji mengikut kesesuaian untuk ditanam di bawah panel solar  tersebut.

Dalam pada itu, turut diadakan majlis menandatangani dokumen MoU bagi projek solar Agrivoltaic berskala besar bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Syarikat Tesdec Green Energy Sdn Bhd.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Tenaga) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Mohamad Razif Abdul Mubin, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizulkarnain Abdul Kadir dan ahli pengurusan universiti.

SXESUA~