Projek Agihan Buku Wakaf Untuk Golongan Muallaf | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Projek Agihan Buku Wakaf untuk golongan muallaf

Projek Agihan Buku Wakaf untuk golongan muallaf

Oleh: Nor Adilla Alfadzil

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 12 April - Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Multaqa Asatizah dan Du’at mengadakan projek pemindahan ilmu dengan mengagihkan buku waqaf bertajuk “Kehidupan Awal Muallaf dalam Fiqah Muallaf” kepada golongan yang baharu memeluk Islam.

Projek jaringan komuniti itu juga adalah satu daripada cara pertubuhan dakwah menyantuni golongan muallaf.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin berkata program itu adalah usaha murni FEM UPM yang mengumpulkan pelbagai agensi dakwah daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan kerajaan.

 

“Usaha seperti ini harus dilipat gandakan. Di samping menyebar luas ilmu, kita juga menggunakan kepakaran kita dalam mengajak lebih banyak agensi untuk bekerjasama dengan kita,” katanya

 

Pengarah projek, Prof Madya Dr. Ku Hasnita Ku Samsu berkata universiti adalah ejen untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar dan masyarakat. Inisiatif untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat khususnya golongan muallaf itu timbul hasil daripada penulisan pensyarah UPM sendiri.

 

“Buku tersebut diagihkan kepada wakil pertubuhan dakwah terpilih di Malaysia untuk diedarkan kepada muallaf di bawah naungan mereka serta untuk digunakan dalam program dan kuliah bimbingan bersama golongan muallaf.

“Harapan saya usaha ini akan diteruskan dan akan menjadi satu aktiviti jaringan yang boleh dimanfaatkan oleh pensyarah UPM. Masyarakat juga secara langsung dapat mengenali UPM serta pakar yang ada di UPM,” katanya.

 

Penulis buku, Prof. Madya Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata buku itu adalah satu sumbangan kepada para muallaf untuk membantu memudahkan urusan mereka dan sebagai panduan serta rujukan mengenai perkara berkaitan Islam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamdunan, FEM, UPM berkata buku itu tidak memfokuskan kepada hukum tetapi lebih kepada pertanyaan wajib yang perlu diketahui muallaf. - UPM

 

 

 

 

Tarikh Input: 26/04/2021 | Kemaskini: 26/04/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJXXAe:23:49