| Universiti Putra Malaysia

Program ‘We Care, We Are Survivors’ bantu pelajar hadapi norma baharu

Oleh: Aida Zafierah

 

SERDANG, 15 Jan – Program ‘We Care, We Are Survivors’ telah diadakan bagi membincangkan tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa ketika pandemik COVID-19 dan solusi yang terbaik bagi mengatasinya.

 

Penasihat program, Prof. Madya Dr Yusran Sulaiman, berkata program itu bertujuan melahirkan pelajar yang mempunyai tahap mental dan fizikal yang sihat dalam apa jua keadaaan.

“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengetahui maklumat berkaitan kesihatan mental dan fizikal dalam menempuhi kehidupan norma baharu,” katanya.

Ia dianjurkan Kelab Mahasiswa Kimia dengan kerjasama Sekretariat Kerohanian, Kebajikan dan Keselamatan, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Prof. Madya Dr Yusran yang juga Pensyarah Fakulti Sains, UPM berkata program itu adalah ke arah melahirkan mahasiswa yang sentiasa positif serta bersedia menghadapi segala cabaran terutamanya pembelajaran secara maya.

Dua ahli panel Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nurul Faziera Mohd Adnan dan Yang Dipertua Guru Kaunseling Pulau Pinang, Khairul Nidzar Mohd Zaki berkongsi pendapat berkaitan cabaran serta persediaan yang perlu dibuat oleh pelajar sepanjang menempuh kehidupan dan  pembelajaran norma baharu.

Pelajar Tahun 2, kursus Kimia Dengan Pendidikan UPM, Lim Xiang Chuin berkata, program itu memberi banyak pendedahan yang menarik berkaitan kesihatan mental serta cara menanganinya dengan betul.

 

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya ‘Cari Perkataan Tersembunyi’ dan ‘Teka Iklan.’

Untuk aktiviti ‘Cari Perkataan Tersembunyi,’ pelajar dikehendaki meneka perkataan berdasarkan gambar yang ditayangkan, manakala bagi ‘Teka Iklan,’ pelajar perlu meneka tajuk iklan berdasarkan video dan lagu yang dipasang.

 

Aktiviti itu bertujuan bagi menguji kepekaan penonton dan pengetahuan am mereka, sekaligus membantu mereka menguji daya ingatan dan ketangkasan dengan memberi jawapan secepat yang mungkin.

Melalui aktiviti itu juga, penonton dapat menggamit dan mengimbau memori silam apabila mendengar lagu-lagu nostalgia yang dipasang. Ia secara tidak langsung, juga dapat menambah keseronokkan pelajar yang meluangkan masa menyaksikan forum live itu. - UPM

SXEaOA4~