| Universiti Putra Malaysia

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA UPM BANTU STAF BAHARU BINA KERJAYA

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Serdang, 1 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Program Transformasi Minda (PTM) Siri 1/2022 kepada staf baharu sebagai salah satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan menggantikan Kursus Induksi yang dilaksanakan sebelum ini.

Bengkel yang diadakan secara secara hibrid (bersemuka dan dalam talian – Zoom) disertai kira-kira 26 orang peserta berlangsung selama 10 hari bermula 21 Februari hingga 1 Mac 2022.

Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman yang juga salah seorang penceramah berkata program ini memberi pendedahan kepada pensyarah baru untuk berfikiran terbuka dan merancang perjalanan kerjaya mereka di UPM.

“PTM juga dilaksanakan bagi memupuk keperibadian jati diri dan menjadi ejen promosi meningkatkan nama serta kepakaran UPM sehingga ke peringkat global,” ujarnya.

Di samping itu, Pendaftar UPM Muhazam Mansor berkata objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada staf baharu mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara serta sistem pentadbiran kerajaan.

“Program ini juga dilaksanakan bagi memupuk nilai patriotisme pegawai supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan dalam menyesuaikan diri dalam Perkhidmatan Awam. Selain itu, program ini memfokuskan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dapat menyampaikan perkhidmatan dengan cekap serta berkesan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Dr Mohd Fabian Hasna yang merupakan salah seorang peserta PMT berkata hasil perkongsian penceramah memberi banyak pengetahuan baru berkenaan UPM termasuk hala tuju universiti ini.

Seorang lagi peserta pensyarah kanan Fakulti kejuruteraan Dr Muhammad Syameer How Mohd Firdaus How meluahkan rasa gembira selepas menghadiri PMT dan berharap beliau akan dapat memberi sumbangan dalam penyelidikan di UPM.

“Jika sebelum ini saya rasa seperti samar-samar info berkenaan UPM dan mendapatkan info daripada senior sahaja namun selepas mendengar taklimat hala tuju UPM saya lebih cakna dengan pelan strategik UPM dalam lima tahun akan datang,” jelasnya.

Pendedahan program ini diharap dapat membantu pegawai akedemik UPM lebih bersedia dalam menjalani perkhidmatan di UPM serta menghasilkan nilai tambah dalam tugasan seharian.

SXEZVAs~