Program Pengenalan Pelajar Baharu Jabatan Fizik Dibuat Secara Atas Talian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program pengenalan pelajar baharu Jabatan Fizik dibuat secara atas talian

Program pengenalan pelajar baharu Jabatan Fizik dibuat secara atas talian

Oleh: Nur Hamizah Hashim

 

SERDANG, 31 Okt - Kelab Mahasiswa Fizik (KMF), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains, UPM menganjurkan Gerak Ilmu Fizik: E-GenPhys 20/24 secara atas talian bersama 98 orang pelajar Tahun 1 beserta pelajar senior Jabatan Fizik.

Program pengenalan pelajar baharu yang lazimnya dijalankan secara fizikal itu dilaksanakan secara atas talian di Laman Facebook “Kelab Mahasiswa Fizik UPM” menggunakan Streamyard sebagai platform.

Program bertujuan membantu pelajar baharu mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran sepanjang pengajian di samping menjalin hubungan antara pelajar baharu serta warga Jabatan Fizik dan program pengajian dalam Jabatan Fizik.

Ketua Program yang juga Penasihat KMF, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen berkata, program yang dirancang secara fizikal telah ditransformasikan kepada atas talian untuk julung kalinya

“Pelbagai cabaran dihadapi untuk mengekalkan objektif program yang biasanya dilaksanakan secara bersemuka dan atas kreativiti bersama exco KMF UPM, kami berjaya melaksanakannya secara atas talian,” katanya.

Dr Yap yang juga pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM berkata sesi atas talian itu mempertemukan alumni yang berada di berlainan lokasi di seluruh pelosok Malaysia dan mereka berkongsi pengalaman sepanjang bergelar pelajar dan hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian.

Antara bekas graduan Fakulti Sains, UPM alumni kelas 2018 yang  yang mengikuti sesi ini ialah Abdul Hakim Mohd Fisol (Alumni Bacelor Sains dalam Sains Bahan dengan Kepujian), Khairul Syamim Khalid (Alumni Bacelor Sains dalam Sains Instrumentasi dengan Kepujian), Nor Ashekin Hamdan (Alumni Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian) dan Nur Ain Asyiqin Anas (Alumni Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan Kepujian).

Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Suriati Paiman memberikan motivasi dan perancangan sepanjang pengajian secara santai, dibantu oleh Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Dr. Mazliana, Dr. Huda dan Dr. Nurisya,

Ketua i-Putra UPM, Fairuz Muchtar turut menyertai program itu sebagai panel jemputan dengan memberi perkongsian berkaitan i-Putra dan mobiliti kepada pelajar dalam sesi Ignite Your Future!

Pengarah program, Zahin Nazrin Rosemadi berkata melalui program itu, pelajar dapat mengajukan soalan melalui komen di laman Facebook secara langsung dan ahli panel memberikan maklum balas dalam masa yang sama

Terdapat juga aktiviti berkumpulan yang berkonsepkan pengetahuan fizik dijalankan di mana pelajar perlu melengkapkan cabaran menggunakan peralatan di rumah dalam sesi Accelerace.

 

Program atas talian itu juga memuatkan sesi santai “I Can See Your Wave Musim Ke-2 yang diadaptasi daripada rancangan realiti TV popular.

Pelajar tahun 1, Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian), Fakulti Sains, Muhammad Nazreen Samuri berkata beliau tidak menyangka program itu dapat memberikan impak yang sama seperti program bersemuka walaupun dijalankan secara atas talian.

Seorang lagi pelajar Tahun 1, Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian, Fakulti Sains, Nafisatul Qurota Ayun Azaman pula berkata program itu amat bermanfaat untuk menimba ilmu baharu terutama nasihat dan tips yang diberikan oleh panel senior, pensyarah dan alumni. – UPM

 

Tarikh Input: 09/11/2020 | Kemaskini: 10/11/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJSOAz:14:37