| Universiti Putra Malaysia

Program Pembangunan Keusahawanan Asnaf FEP UPM dan QSR Brands Membuahkan Hasil

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG - QSR Brands telah memberi tajaan sebanyak RM50,000 kepada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melaksanakan Program Pembangunan Keusahawanan Asnaf terhadap pelajarnya daripada keluarga fakir dan miskin bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dekan FEP, Prof. Dr. Azali Mohamad berkata program Pembangunan Keusahawanan Asnaf UPM-QSR itu bermatlamat untuk melahirkan usahawan berjaya dan menukar status usahawan asnaf UPM daripada menerima zakat kepada memberi zakat untuk membantu ekonomi ummah.

“Modul komprehensif kepada keempat-empat usahawan asnaf perintis  kerjasama UPM-QSR itu telah berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing sehingga ada yang memperolehi pendapatan mencecah lima angka, “ katanya.

Seramai 40 pelajar daripada pelbagai fakulti di UPM dipilih melalui program perintis yang dibahagikan kepada empat fasa dalam program tersebut iaitu pemilihan pelajar dan fasa perkongsian ilmu yang melibatkan sembilan modul komprehensif berkaitan pembangunan keusahawanan.

Fasa ketiga dan keempat ialah pembentangan pelan perniagaan oleh pelajar asnaf dan pemilihan calon yang berjaya untuk diberikan modal pusingan. Pelajar yang berjaya juga akan diberikan pendedahan dengan mengadakan lawatan industri yang berkaitan dengan skop perniagaan pelajar yang telah dipilih. 

Tenaga pengajar daripada pensyarah FEP dan QSR Brands yang mewakili industri memberi panduan dalam teknik penulisan dan pembentangan proposal perniagaan.

Empat pelajar yang terpilih diberikan modal pusingan sebanyak RM6250 setiap seorang untuk memulakan perniagaan masing-masing terdiri daripada dua pelajar FEP iaitu Nor Hafiza Md Zohir yang menjalankan perniagaan cendawan tiram dan Nurul Shahirah Hafit yang menjalankan penjualan dan pengedaran buku ilmiah.

Sementara dua lagi pelajar ialah Noorfarina Amiera Mohamad Zapi dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunkasi, menjalankan perniagaan ‘Surprise Delivery’ dan Nina Nadira Rosle dari Fakulti Pengajian Pendidikan yang menjalankan perniagaan sebagai pelatih kecergasan.

Mereka juga telah diberikan pendedahan lawatan industri ke Cameron Highland dengan melawat ladang strawberry yang dimiliki oleh alumni UPM.

Usahawan asnaf itu juga telah menyahut cabaran dalam menyertai Halfest 2019 di MIECC, Mines pada 4-8 September lalu untuk mengembangkan perniagaan dan jaringan masing-masing melalui penajaan booth daripada pihak QSR Brands.

Selain QSR, kerjasama membantu asnaf pelajar UPM turut melibatkan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan Produk Halal dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN).

Setakat ini, FEP telah menerima tajaan daripada QSR Brands sebanyak RM200,000 untuk melaksanakan pelbagai program lain untuk pembangunan pelajar dan komuniti. - UPM

 

WXDcSAt~