| Universiti Putra Malaysia

Program Kitar Semula Fabrik pupuk warga UPM budayakan aktiviti kitar semula

Oleh: Dr. Ferdaus Mohamat Yusuff

 

SERDANG, 9 Nov – Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan program Kitar Semula Fabrik bagi memupuk budaya kitar semula fabrik di kalangan pelajar dan warga UPM.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata program amalan kitar semula dapat dilaksanakan dengan adanya kerjasama daripada semua peringkat dan lapisan organisasi di UPM.

 

“Penubuhan organisasi khas yang teratur dan lengkap di setiap Pusat Tanggungjawab akan membolehkan segala imbuhan hasil daripada jualan barangan kitar semula diguna dan disalurkan untuk keperluan serta kebajikan pegawai, pelajar dan Pusat Tanggungjawab di UPM,” katanya.

 

Beliau berkata, penubuhan sistem kutipan dan penghantaran barangan kitar semula secara terjadual dan teratur dan kerjasama semua pihak di UPM memainkan peranan untuk menjayakan aktiviti itu.

 

“Penubuhan sistem kutipan dan penghantaran barangan kitar semula secara terjadual dan teratur perlu diselaraskan untuk memudahkan warga UPM menyalurkan barang kitar semula serta dapat menjana pendapatan fakulti,” katanya.

 

Sementara itu, syarikat Kloth Malaysia menyediakan 10 buah tong kitar semula fabrik di dalam kampus UPM yang dirasmikan oleh Profesor Datin Paduka Dato’ Dr. Aini di RedCube, Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM.

 

Program Kitar Semula Fabrik adalah aktiviti yang direncana oleh Sekretariat Induk Recycling@U bersempena Program Minggu Alam Sekitar UPM 2018. Ia adalah usaha bagi merealisasikan komitmen UPM dalam mengekalkan status Kampus Hijau.

 

Ekoran daripada program itu, Sekretariat Induk Recycling@U telah melebarkan jaringan kerjasama bersama syarikat Kloth Malaysia bagi mempromosikan amalan kitar semula barangan fabrik.

 

Sebelum itu, pada 2012 UPM bekerjasama dengan syarikat Coca Cola melancarkan kempen amalan kitar semula di kalangan warga kampus UPM bermula dengan program R2C dengan fokus kepada pembudayaan amalan kitar semula botol plastik dan tin minuman.

 

UPM kemudian mendapat kepercayaan pihak Coca Cola dengan penubuhan  Program Recycling@U pada 2017 bersama dengan empat universiti awam tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan penambahan fokus barangan kitar semula plastik, tin, kertas dan ‘e-waste’. - UPM

 

 

 

 

 

 

SXEXTAp~