Program Integrasi Kejuruteraan Dan Alam Di Akademi Tahfiz Mandarin | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program Integrasi Kejuruteraan dan Alam di Akademi Tahfiz Mandarin

Program Integrasi Kejuruteraan dan Alam di Akademi Tahfiz Mandarin

PULAU KETAM, 9 Nov – Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kelab Pelajar Kejuruteraan Awam (CESC) dan badan bukan kerajaan Kengkawan Project mengadakan Program Integrasi Kejuruteraan dan Alam (i-Kalam) di Akademi Tahfiz Mandarin  (ATM), Pulau Ketam, Klang.

Program yang melibatkan seramai 70 penyertaan itu membabitkan pelajar Akademi Tahfiz Mandarin Pulau Ketam, pensyarah dan pelajar UPM, pertubuhan bukan kerajaan dan industri.

Program bertujuan untuk mendekatkan universiti dan komuniti serta memberi manfaat ilmu kepada masyarakat.

ATM dipilih dalam program yang julung kali diadakan itu kerana ia merupakan institusi yang mencetuskan konsep baharu dalam dunia pendidikan dengan menggabungkan pengajian Tahfiz Al-Quran dan Bahasa Mandarin dalam satu sukatan pelajaran.

Uniknya, ATM merupakan satu-satunya sekolah tahfiz yang dibangunkan di tengah-tengah masyarakat yang 99% penduduknya adalah kaum Tionghua.

Program itu memberi pendedahan kepada pelajar terhadap beberapa cabang ilmu kejuruteraan awam antaranya Kejuruteraan Struktur Gempa Bumi dan Kejuruteraan Air. Pelajar berpeluang untuk menghubungkaitkan bidang-bidang tersebut dengan kandungan Al-Quran dan hadis.

Pelajar turut berpeluang untuk berinovasi dalam menyelesaikan masalah berkaitan kejuruteraan semasa program dijalankan. Pelajar-pelajar sangat teruja apabila dapat menghasilkan dan menguji model bangunan dalam menghasilkan sistem tadahan air hujan dan sistem menahan kesan gempa bumi.

Program itu yang disertai 37 pelajar tahfiz, dikendalikan lima pensyarah Fakulti Kejuruteraan diketuai Dr. Izian Abd Karim selaku pengarah i-Kalam dan 10 orang pelajar CESC sebagai fasilitator program diketuai oleh Mohamad Razeen Iqbal Roslan.

Program itu mendapat sokongan penuh dari pihak industri seperti K-Spatial Sdn. Bhd. dan Zam Technology Sdn. Bhd.

Walaupun pelajar ATM ini tidak mengikuti sukatan pelajaran arus perdana, mereka tidak boleh dipinggirkan daripada dunia sains, teknologi dan kejuruteraan.

Minat pelajar terhadap dunia kejuruteraan harus dipupuk agar negara mempunyai generasi muda yang bukan sahaja mahir dalam bidang Al-Quran dan As-Sunnah, malah hebat dalam bidang kejuruteraan, sains serta teknologi.

Program ini di harap dapat memberi inspirasi buat pelajar ATM untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading kelak. - UPM

Tarikh Input: 13/12/2019 | Kemaskini: 13/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJbDAx:03:13