| Universiti Putra Malaysia

Program hibrid sulung ABS 4.0 kongsi ilmu skuasy bersama komuniti

Oleh: Norafiqah Asri

SERDANG, 12 Dis – Sekretariat Sukan Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kelab Skuasy UPM  mengadakan program Aktif Bersama Sifu (ABS) siri keempat, yang dilaksanakan secara hibrid di gelanggang skuasy UPM dan bersiaran langsung di Laman Facebook KTDI, UPM.

Program ABS siri sebelum itu dijalankan secara atas talian.

Pengarah program Aktif Bersama Sifu 4.0, Muhammad Nazreen berkata program itu bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama dan perkongsian pintar antara atlet bersama komuniti ke arah memperkenalkan sukan skuasy kepada pelajar dan komuniti.

“Program Aktif Bersama Sifu 4.0 merupakan inisiatif ke arah memastikan sukan skuasy menjadi sukan yang sinonim di negara kita,” katanya.

Atlet skuasy kebangsaan, Aifa Azman turut menyertai program itu sebagai atlet jemputan dengan memberi perkongsian dan inspirasi kepada generasi muda agar menceburi sukan skuasy sejak kecil.

“Masih tidak terlambat untuk menyertai sukan skuasy walaupun anda sudah berada dalam lingkungan umur 20-an, mulakan sahaja dan jangan putus asa,” katanya.

Penasihat program, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata program itu bukan sahaja dapat memperkenalkan sukan skuasy kepada komuniti malah program memberi peluang kepada pelajar UPM untuk melatih kemahiran insaniah dalam kemahiran  pengurusan maklumat dan berkomunikasi.

“Melalui program ABS 4.0 ini, kita dapat lihat pelajar UPM seperti Adam Agan dan Hafiz Zhafri yang juga merupakan atlet kebangsaan, Jia Wei dan Nalan sebagai atlet skuasy UPM serta presiden Kelab Skuasy UPM, Muhammad Fauzi bahawa mereka bukan sahaja atlet skuasy yang hebat malah mempunyai kemahiran berkomunikasi di khalayak ramai,” katanya.

Ketika ditemui, Hafiz yang juga pelajar Tahun 1, jurusan Bacelor Komunikasi mengungkapkan perasaan bangga dapat berkongsi pengalaman dan kemahiran bermain skuasy kepada komuniti di Malaysia melalui program hibrid itu.

“Ini merupakan program pertama yang saya sertai secara langsung di UPM selepas berdaftar di UPM pada Oktober lalu. Saya amat teruja kerana diberi peluang melibatkan diri dalam program komuniti ini,” katanya. 

Program ABS siri keempat itu mendapat sambutan sangat baik dengan tontonan melebihi 1,000 melalui capaian platform Facebook Kolej Tun Dr. Ismail, UPM.

Peserta program, Muhammad Amir Zakwan berkata program itu sangat sesuai disertai oleh komuniti yang mempunyai keinginan untuk menceburi sukan skuasy.

“Setelah menonton program ABS 4.0 secara live ini, saya dapat mengetahui kemahiran asas sukan ini. Kaedah program secara hibrid membuatkan saya berasa tertarik menyertainya dan membuat saya tidak sabar untuk mencuba sukan skuasy,” katanya. - UPM

WXEYPA~