| Universiti Putra Malaysia

Program Gigpreneur terap unsur keusahawanan di sekolah

Oleh: Hendra Rijal

 

SERDANG, 13 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan program Pemerkasaan Kompetensi Keusahawanan Gigpreneur menerusi inisiatif Guided Action Coaching bagi menerapkan unsur pendidikan keusahawanan di sekolah.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata program hasil gabungan kepakaran daripada Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM), UPM, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dan Pusat Transformasi Komuniti Unversiti (UCTC) diilhamkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik UPM.

 

“Program ini yang bernaung di bawah Program Pemindahan Ilmu UPM dapat merangsang guru dan pelajar supaya mempraktikkan gaya pengajaran dan pembelajaran kendiri yang mampan tanpa unsur paksaan dan bantuan luar,” katanya.

 

Beliau berkata inisiatif itu adalah salah satu cara universiti menyalurkan ilmu kepada komuniti.

 

“Pihak universiti sedar bahawa kecemerlangan dalam penyelidikan juga harus diperluaskan untuk membangunkan masyarakat ke arah pencapaian pembangunan lestari serta trend terkini cabaran pendidikan global,” katanya.

 

Projek Pendidikan keusahawanan itu yang dijalankan bermula 4 April lalu diketuai  Prof. Madya Dr. Sridar Ramachandran dan membabitkan 36 pelajar Tingkatan 4, dan enam guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting (SMKBB).

 

Selain penglibatan pihak UPM dan sekolah, program itu juga menerima pelbagai sokongan daripada pihak korporat antaranya World Institute For Action Learning dan ComPas MTC Malaysia

 

Pelajar yang menyertai program itu melalui lapan fasa pembelajaran kendiri (heutogogi)  atau coaching berbanding kaedah pedagogi atau teaching selama enam bulan  dengan bertujuan menguasai minda keusahawanan.

 

Dalam enam bulan pelaksanaannya, hasil program ini telah memberi input yang positif dalam kalangan pelajar melalui kaedah Guided Action Coaching hasil aspirasi Datuk Indera Ridzwan Abdullah.

 

Beliau juga menghilhamkan istilah ‘Gigpreneur’ dalam program itu bertujuan memberi inspirasi kepada generasi Z untuk memiliki sifat daya tahan terhadap dunia VUCA (Volatile, Uncertain, Complex, Ambigious).

 

Pengetua SMKBB, Siti Asnah Ahmad berkata inisiatif itu merupakan satu kejayaan dan telah membentuk barisan dan lapisan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

 

“Hari ini kita melihat kejayaan dari satu sudut, iaitu melahirkan keusahawanan dalam kalangan pelajar tapi yang lebih membanggakan ialah lahirnya pelajar berkeyakinan dalam kalangan anak murid,” katanya

 

Pelajar SMKBB, Nur Syahirah Abdul Ghani, 16, berkata program itu memberikan beliau pendedahan dan pengetahuan baharu mengenai keusahawanan.

 

“Saya mendapat pelbagai ilmu baharu serta platform untuk memupuk semangat dan membina keyakinan diri untuk menjadi usahawan dalam bidang fesyen di masa akan datang,” katanya. - UPM

 

SXDdVAw~