| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dr. Nazamid dilantik TNCPI UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG - Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Nazamid Saari sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, berkuatkuasa pada 25 Oktober 2021 hingga beliau bersara wajib pada 19 September 2023.

Portfolio yang akan dipegang oleh beliau adalah mengetuai pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta menguruskan hal ehwal penyelidikan universiti dan pengkomersilan hasil penyelidikan.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Prof. Dato' Dr. Zulkifli Idrus yang telah menamatkan khidmat beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM selama 3 tahun sehingga 14 April 2021.  

Ahli pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Prof. Dr. Nazamid akan dapat menyokong UPM memperkukuhkan kedudukan Universiti Penyelidikan dengan memberikan komitmen kepada aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan hasil penyelidikan.

Pengalaman beliau yang luas dalam bidang penyelidikan  dan perundingan dijangka mampu memperkasakan bidang tujahan utama UPM iaitu pertanian seterusnya melonjak tahap pencapaian penyelidikan dan inovasi ke peringkat antarabangsa.

Prof. Dr. Nazamid yang dilahirkan pada 20 September 1963 di Padang Rengas, Perak merupakan pakar bioteknologi dan enzimologi makanan mendapat ijazah Bacelor Sains dan  dan Teknologi pada tahun 1986, Ijazah Sarjana Biokimia Makanan dari Saga University, Jepun  pada tahun 1993, dan Doktor Falsafah (PhD) dari Kagoshima University, Jepun  pada tahun 1996. Beliau menyertai Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM pada tahun 1996 sebagai pensyarah, dan dinaikan pangkat kepada  Profesor Madya pada tahun 2001, seterusnya Profesor penuh pada tahun 2008.

Beliau pernah mengetuai Unit Perundingan Fakulti pada tahun 1998 dan sebagai sebagai Ketua Jabatan Sains Makanan pada 2001 sehingga 2003, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM pada tahun 2003 hingga 2011 dan Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Akademik (CADe), UPM pada tahun 2013 hingga 2016. Beliau dikenali sebagai penceramah berkaitan outcome-based education dan pembangunan kurikulum pengajian tinggi. Beliau juga diberi tanggungjawab mengetuai garispanduan kaedah pentaksiran bagi penerbitan buku Garispanduan Perlaksanaan Program 2U2I di Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau telah menerbitkan lebih 219 penerbitan dalam jurnal berwasit berimpak tinggi disamping  penerbitan lain seperti prosiding, buku, bab dalam buku, dan dalam bentuk laporan teknikal hasil dari penyelidikan yang dijalankan. Beliau dan kumpulannya juga menyelia lebih 24 pelajar pasca siswazah peringkat master dan PhD.

Selain itu, beliau mempunyai 10 patent filings dan telah membentangkan lebih 200 kertas kerja di pelbagai persidangan kebangsaan dan antarabangsa. Profesor Nazamid sangat dikenali di Malaysia dan peringkat antarabangsa dalam bidang Bioteknologi dan Enzimologi Makanan dan kerap mendapat undangan sebagai speaker dan panellist dalam forum, seminar dan konferensi yang berkaitan dengan Sains dan Teknologi Makanan. Beliau juga menerima permintaan tinggi sebagai penilai artikel strategik untuk jurnal berimpak tinggi termasuk Food Chemistry, Journal of Agriculture and Food Chemistry, Food Research International, Journal of Functional Foods, Food Hydrocolloids, Journal of Food Microbiology, Food Control, International Journal of Food Microbiology dan Food Biochemistry.

Beliau berkhidmat sebagai Editor Bersekutu untuk Frontiers in Sustainable Food Systems, iaitu jurnal yang memfokuskan kepada Sustainable Development Goals (SDGs) selaras dengan pelan tindakan untuk mencapai masa depan yang lebih baik di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau juga adalah Honarary Editorial Board Member bagi International Food Research Journal (IFRJ); mantan pengerusi Jemaah Dekan Sains dan Teknologi Makanan di Universiti Awam, dan ahli serta mantan pengerusi Jemaah Dekan Sains dan Teknologi Makanan bagi universiti diperingkat ASEAN. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Biasiswa Ajinomoto.

Profesor Nazamid telah mengetuai beberapa projek penyelidikan strategik berskala besar termasuk projek penyelidikan berkaitan dengan peptida sebagi bahan ramuan makanan dan makanan fungsian melalui geran bernilai RM1.8 juta daripada MOSTI/ABI dan juga geran Teknofund bernilai RM1.8 juta bagi pembangunan SME susu tablet. Penyelidikan  beliau telah mendapat banyak anugerah samada diperingkat national mahupun  antarabangsa. Beliau juga sangat aktif dan mengetuai banyak projek khidmat perundingan kepada SME khususnya dalam pembangunan produk makanan berkualiti tinggi.

Sejak beberapa tahun lalu, beliau telah memulakan penyelidikan dan mengetuai projek Future Food dan pembangunan makanan berasaskan protein tumbuhan di UPM bagi melonjakan peranan UPM khasnya dan Malaysia amnya di persada antarabangsa dalam penyelidikan dan pembangunan future food selari dengan trend dan permintaan pasaran global masa kini. - UPM

WXDdHAz~