| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dilantik sebagai TNCAA UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM untuk tempoh selama tiga (3) tahun berkuatkuasa mulai 25 April 2022 hingga 24 April 2025.

Beliau menggantikan Prof. Dr. M. Iqbal Saripan yang tamat tempoh lantikannya pada 14 Februari 2022.

Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, 51, mempunyai kelulusan Ph.D (Pendidikan Lanjutan), University of Warwick, United Kingdom, Sarjana Pendidikan Pengembangan, UPM dan Sarjana Muda Pendidikan Dengan Kepujian (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua - TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau berkepakaran dalam bidang pengembangan dan pendidikan lanjutan, pengajaran dan pembelajaran, pembangunan belia, kepemimpinan dan pembangunan sumber manusia.

Anak kelahiran Kedah ini telah berkhidmat di UPM lebih 22 tahun dengan memulakan karier sebagai Pensyarah di Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, pada 2000, dilantik sebagai Pensyarah Kanan pada 2008, Profesor Madya pada 2012 dan kemudiannya Profesor pada 2020.

Beliau sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, pada tahun 2008, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Fakulti Pengajian Pendidikan antara 2012-2013 dan 2017-2020. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM pada tahun 2020 hingga 2022.

Beliau juga pernah berkhidmat secara pinjaman sebagai Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Pengajaran dan Pembelajaran di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) antara tahun 2013 hingga 2015.

Prof. Dr. Ismi adalah Editor Eksekutif Asia-Pacific Journal of Youth Studies (sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Journal of Youth Studies), Ahli Majlis Editorial SAGE Open, Asia Council of Science Editors. Beliau juga adalah pewasit bagi beberapa jurnal antarabangsa antaranya ialah BMC Medical Education, European Journal of Training and Development, Journal of Social Sciences, dan Journal of the History of Education Society.

Prof. Dr. Ismi merupakan pakar pemikir bagi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia. Beliau adalah antara pakar rujuk utama yang menghasilkan Dasar Belia Malaysia 2015-2035 dan Indeks Belia Malaysia semenjak 2011 sehingga kini. Beliau terlibat dalam penghasilan buku Dasar e-Pembelajaran Negara (DePaN). Prof. Dr. ismi juga merupakan ahli tetap Mesyuarat Pasukan Petugas Khas National Education (STF NE), Majlis Pekerjaan Negara (NEC) mulai 2022.

Di peringkat antarabangsa, Prof. Dr. Ismi banyak terlibat dengan aktiviti perundingan bersama Commonwealth Youth Secretariat, London, Commonwealth Higher Education Youth Work Consortium, UNESCO dan juga firma perunding seperti Khazanah Research Institute, McKinsey & Company, Ernst & Young dan Hay Group. Beliau pernah mengikuti latihan profesional kepemimpinan yang dikendalikan pakar dari Harvard Business School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan Melbourne Business School, Universiti Melbourne, Australia. 

Portfolio yang dipegang oleh beliau adalah mengetuai dan bertanggungjawab dalam keseluruhan pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta meningkatkan pembangunan polisi akademik, mempromosikan proses jaminan kualiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran dan bertanggungjawab ke atas perkembangan dan promosi hal ehwal antarabangsa.

Ahli pengurusan UPM menyifatkan pelantikan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail akan dapat mendukung matlamat universiti untuk mencapai matlamat strategik universiti yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk pengayaan pengalaman pelajar dalam menimba ilmu dan pembangunan profesional yang berterusan bagi kakitangan akademik universiti. - UPM

SXDcSAM~