| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dilantik TNCPI UPM

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



SERDANG - Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan pelantikan Prof. Dato’ Dr. Husaini Bin Omar sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM selama tiga tahun, berkuatkuasa pada 15 Februari, 2017 hingga 14 Februari, 2020.

Portfolio yang akan dipegang oleh beliau adalah mengetuai pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta menguruskan hal ehwal penyelidikan universiti dan pengkomersilan hasil penyelidikan.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Prof. Dato' Dr. Mohd. Azmi Mohd Lila yang menamatkan kontrak pada 31 Disember tahun lalu selepas Prof. Husaini mendapat surat pelantikan rasmi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahli pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Prof. Husaini akan dapat menyokong UPM memperkukuhkan kedudukan Universiti Penyelidikan dengan memberikan komitmen kepada aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan hasil penyelidikan.

Pengalaman beliau yang luas dalam bidang penyelidikan dan sebagai Pengarah Urusan UPM Holdings Sdn. Bhd. diharapkan mampu melonjak tahap pencapaian penyelidikan dan inovasi ke peringkat antarabangsa.

Prof. Husaini yang dilahirkan pada 10 Mac, 1963 di Kelantan merupakan pakar Geologi Kejuruteraan, mendapat ijazah Bacelor Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya pada tahun 1988, ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom pada tahun 1994, dan ijazah PhD (System Engineering) dari UPM pada tahun 2002.

Beliau bertugas di Fakulti Kejuruteraan UPM pada tahun 1996 sebagai pensyarah, dan sebagai Profesor Madya pada tahun 2002, seterusnya Profesor pada tahun 2011.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2002 hingga 2006, Pengarah Pusat Perniagaan Universiti pada tahun 2006 hingga 2009 dan Pengarah Urusan UPM Holdings sejak tahun 2009 hingga sekarang.

Beliau telah menerbitkan lebih 200 penerbitan dalam bentuk jurnal, prosiding, buku, bab dalam buku, dan dalam bentuk laporan teknikal hasil dari penyelidikan yang dijalankan. Beliau dan kumpulannya juga menyelia 20 pelajar pasca siswazah dan hasil penyelidikan beliau telah mendapat paten Amerika Syarikat dan Malaysia.

Prof. Husaini mendapat beberapa pengiktirafan dan pencapaian di dalam dan luar negara. Antaranya, di dalam negara beliau merupakan penerima Anugerah Saintis Muda Negara pada tahun 2000, Anugerah Belia Negara, Pemenang Pingat Emas International Technology Expo. Manakala di peringkat antarabangsa beliau menerima Pingat Emas WIPO dari World Intellectual Property Organization’s (WIPO) Geneva (2000), dan Pingat Emas dari INPEX USA (2001).

Pada tahun 2003, beliau mendapat anugerah Feloship Naib Canselor UPM dan tersenarai dalam Marquis Who’s Who in Science and Engineering untuk penerbitan tahun 2003-2004. Atas sumbangannya kepada Ekspo Teknologi Malaysia, The Malaysian Association of Research Scientists menganugerahkannya The MARS Service Award pada tahun 2011.

Beliau juga merupakan Panel Juri Antarabangsa bagi Intel International Science and Engineering Fair (Intel-ISEF) di USA dari tahun 2002 sehingga sekarang dan merupakan Pengerusi Intel-ISEF Scientific Review Committee (SRC) bagi chapter Malaysia untuk MRSM dan merupakan Pengerusi Panel Hakim Tetap Tunas Saintis MRSM.

Prof. Husaini adalah Felo, The Geological Society of London, Ahli Persatuan International Association of Engineering Geology (IAEG), Paris, dan Ahli Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MSeT).

Pada tahun 2012, beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (P.S.K) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan sempena hari keputeraan baginda.

Pada 11 Disember 2016, beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Dato Paduka Mahkota Selangor Yang Amat Mulia (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sempena hari keputeraan baginda.

 


WXDdVAK~