| Universiti Putra Malaysia

Prihatin isu COVID-19, YOSH UPM ambil inisiatif edar ‘Smile Pack’

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi

 

SERDANG, 20 Mac – Lebih 1,600 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kampus UPM Serdang dan Kampus UPM Bintulu terpaksa tinggal di Kolej-kolej Kediaman ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa dari 8 - 31 Mac.

Chapter Alumni YOSH UPM dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dan Pertubuhan Basmi Kelaparan (Food For Hunger Organisation- F4H) tampil  menghulur bantuan untuk meringankan beban pelajar dan petugas barisan depan di UPM dengan mengedarkan 200 pek makanan ‘Smile Pack’ yang sedia dimakan.

Smile  Pack’   merupakan set makanan terdiri daripada nasi putih beras basmathi, pek kari daging dan pek kari ayam.

Inovasi pek makanan sedia dimakan itu boleh bertahan sehingga dua tahun kerana tidak menggunakan bahan pengawet. Ia menggunakan teknologi pembungkusan Jerman iaitu melalui proses pensterilan retort untuk membasmi kuman.

Timbalan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM dan ketua Taskforce COVID-19, Mohd Khairul Amirin berkata jumlah pelajar yang terpaksa menginap di kolej kediaman di UPM Serdang adalah 1,175 orang melibatkan 10 kolej dan Rumah Tetamu UPM.

“Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM, bersama wakil MPP bertungkus-lumus secara berterusan bagi memastikan kebajikan pelajar di kolej dalam keadaan baik dan selamat

“Bentuk bantuan makanan ready to eat seperti ini amat dialu-alukan untuk memudahkan petugas dan pelajar mendapatkan sumber makanan yang terjamin kebersihannya,” katanya.

Pengerusi Chapter Alumni YOSH UPM, Muhammad Azri, berkata mereka Chapter YOSH mengambil cakna dengan memainkan peranan membantu pelajar. 

“Kami bekerjasama dengan MyFundAction dan Food For Hunger bagi menyediakan 100 bekalan ‘Smile Pack’ kepada pelajar iaitu nasi beras Basmathi, gulai ayam dan 100 pek daging Qurban Care For Ummah  (QC4U),” katanya.

Beliau berkata, Chapter YOSH mengalu-alukan lebih ramai lagi alumni untuk bekerjasama bagi meringankan beban para pelajar dan petugas di UPM.

Penolong Felo Kolej Pendeta Za’ba, UPM, Muhammad Faiz Wahid berkata bantuan ‘Smile Pack’ amat dIperlukan untuk memastikan pelajar boleh menjamu selera pada bila- bila masa dan kekal terus di kolej kediaman.

Pelajar pasca siswazah di Fakulti Sains dan Kesihatan, UPM, Afiqah Saironi berkata pada awalnya beliau dan kumpulan Chapter YOSH UPM agak risau untuk melangkah masuk ke UPM.

“Apabila saya melihat kesungguhan para petugas yang terdiri dari MPP, Felo dan pengawai BHEP UPM dan usaha mereka, membuatkan kami terpanggil untuk tampil membantu,” katanya.  – UPM

 

 

WXDdPAX~