| Universiti Putra Malaysia

Physineration Camp, permulaan baharu mahasiswa Jabatan Fizik

Oleh: Nurul Afiqah Binti Azman

KUALA PILAH, 21 Sept – Seramai 116 orang pelajar tahun satu Jabatan Fizik Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Physineration Camp 19/23 di D’Kok Eco Camp, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Program itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kem Gerak Ilmu Fizik bertujuan memperkenalkan Jabatan Fizik, Fakulti Sains (FS), UPM serta memberi pendedahan awal berkenaan perkara yang akan ditempuhi sepanjang tempoh pengajian pelajar baharu Jabatan Fizik sesi 2019/2020.

Kem itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara warga Jabatan Fizik, FS, UPM bersama pelajar baharu.

Physineration Camp 19/23, nama yang diperbaharui merupakan gabungan nama Physics dan Generation seterusnya membawa maksud generasi fizik bagi tempoh pengajian 2019-2023 mahasiswa baharu Jabatan Fizik UPM.

Program dianjurkan Kelab Mahasiswa Fizik UPM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains UPM (FaSSA) serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM. Ia diketuai oleh penasihat kelab itu, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen yang juga pensyarah kanan di Jabatan Fizik, dan dibantu oleh 30 orang fasilitator yang juga barisan exco Kelab Mahasiswa Fizik, UPM.

Ketua Jabatan Fizik, Prof.Madya Dr Suriati Paiman berkata program itu amat berguna bagi memperkenalkan Jabatan Fizik UPM kepada pelajar tahun satu sesi 2019/2020.

Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen pula berkata, program yang diberi nafas baharu itu buat julung kalinya telah melibatkan staf dan pensyarah Jabatan Fizik yang turut serta menjayakannya.

“Saya berasa berbesar hati apabila staf, pegawai serta pensyarah dari Jabatan Fizik meluangkan masa menyertai kem bersama pelajar baharu sesi 19/23. Ini akan membantu pelajar tahun satu mengenali staf dan pensyarah Jabatan Fizik,” katanya.

Pensyarah diberi peluang berkongsi pengalaman mengajar bersama pelajar dalam slot Ada Apa Dengan Fizik.

Physineration Camp 19/23 dengan slogan “Fizik Kita Punya” itu juga dikunjungi alumni pelajar Jabatan Fizik yang sempat menceritakan pengalaman sepanjang pengajian serta berkongsi pengalaman pekerjaan bidang masing-masing. 

Beberapa aktiviti outdoor dijalankan oleh jurulatih D’kok Eco Camp seperti water tubing, water confident dan mendaki bukit tertinggi di situ. Aktiviti itu secara tidak langsung menguji keberanian dan keyakinan peserta termasuk pensyarah yang sama-sama melakukan aktiviti berkenana.

Ada juga aktiviti bertemakan Fizik yang dijalankan oleh fasilitator dalam slot Accelerace. Terdapat 10 stesen yang memaparkan konsep Fizik yang pelbagai dan setiap stesen yang dipantau oleh fasilitator itu memberi pelbagai cabaran yang perlu diselesaikan oleh setiap kumpulan peserta.

Ketua fasilitator yang juga pengarah program Physineration Camp 19/23, Shah Muhammad Hilmi Abdul Karim berkata, kem itu dijayakan dengan baik oleh setiap fasilitator dan mereka dapat menyampaikan konsep fizik dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Peserta program, pelajar tahun satu Bacelor Sains Fizik (Kepujian), Nur Fadhlil Wafi Nor Alihan berkata kem itu telah menyegarkan ingatannya setelah sekian lama tidak mengasah minda dalam ilmu fizik sertat mengeratkan hubungan antara warga Jabatan Fizik UPM.

“Program ini juga meningkatkan semangat kerjasama dalam aktiviti berpasukan. Saya juga dapat mengenali rakan-rakan baharu dan juga senior yang menjadi fasilitator,” katanya. – UPM

 

 

 

SXDdGAv~