Pertandingan MYCYS Latih Bakat Sains Pelajar Ke Peringkat Antarabangsa | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pertandingan MYCYS latih bakat sains pelajar ke peringkat antarabangsa

Pertandingan MYCYS latih bakat sains pelajar ke peringkat antarabangsa

Oleh Dr. Mohd Firdaus Mohd Anuar

SERDANG (UPM) – Seramai 78 pelajar sekolah menengah dan 15 guru pengiring melibatkan 12 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah menengah harian mengambil bahagian di dalam pertandingan Malaysia Conference of Young Scientist (MYCYS) 2019.

Pertandingan ini merupakan kali ke-5 dianjurkan oleh Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) dan kali pertama bekerjasama dengan Fakulti Pertanian, UPM yang diadakan di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sejumlah 34 penyertaan telah diterima bagi menyertai pertandingan MYCYS dan melibatkan 3 elemen utama bidang Sains iaitu; Kimia (10), Biologi (12) dan Fizik (12).

Pertandingan MYCYS melibatkan seramai 6 orang juri yang merupakan penyelidik dari UPM untuk mengadili peserta MYCYS yang melibatkan pembentangan poster dan lisan.

Bagi pembentangan poster, peserta memberi penerangan ringkas mengenai hasil kajian dan reka cipta kepada barisan juri dan seterusnya memberi sesi pembentangan lisan.

Pengetua Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Norazhar Mohd Shah berkata, pertandingan MYCYS menyediakan pelajar-pelajar sekolah untuk mengambil bahagian dalam pertandingan di peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan Asia Pacific Conference of Young Scientists (APCYS) dan International Conference of Young Scientists (ICYS).

“Pendekatan penjurian dalam MYCYS juga menekankan penguasaan asas sains iaitu bidang Kimia, Biologi, Fizik dan Matematik sebagai usaha untuk melahirkan generasi muda yang memiliki asas pengetahuan sains tulen,” katanya.

Pengarah Pertandingan MYCYS 2019, Rohaya Bakar berkata tujuan pertandingan MYCYS ialah menggalakkan aktiviti kreativiti dan inovasi pelajar Malaysia bagi meningkatkan kualiti penyelidikan inovasi sains dan membudayakan amalan penyelidikan dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Juri, Dr. Mohd Firdaus Mohd Anuar yang juga penyelidik di Fakulti Pertanian berkata antara faktor utama yang diambil kira ialah keaslian hasil kajian atau reka cipta, peluang untuk tujuan komersil dan keyakinan peserta untuk menjawab soalan mengenai hasil kerja mereka.

Pada hari terakhir pertandingan, peserta MYCYS berpeluang untuk mendengar penerangan yang diberikan oleh penyelidik-penyelidik UPM berkaitan bidang pertanian organik dan teknologi pertanian.

Seramai lapan pemenang kategori emas, 11 pemenang kategori perak dan 15 kategori gangsa dipilih daripada bidang-bidang yang dipertandingkan. Peserta daripada Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak telah dipilih sebagai pemenang keseluruhan bagi kategori Pembentangan Poster Terbaik manakala peserta daripada Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (SESERI), Kuala Lumpur dipilih bagi kategori Pembentangan Lisan Terbaik.  – UPM

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 13/03/2019 | Kemaskini: 13/03/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566717715