Persidangan IFSC2021 Ikuti Norma Baharu Secara Maya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Persidangan IFSC2021 ikuti norma baharu secara maya

Persidangan IFSC2021 ikuti norma baharu secara maya

Oleh: Dr. Mazliana Ahmad Kamarudin

SERDANG, 26 Ogos - Persidangan International Fundamental Science Congress 2021 (IFSC2021) buat julung kalinya diadakan secara maya ekoran pandemik COVID-19 yang masih tidak membolehkan rentas sempadan.

Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan tradisi acara tahunan itu dengan pendekatan norma baharu dengan mengadakan menerusi aplikasi Zoom. Persidangan edisi ke-12 itu diadakan darii 24 hingga 26 Ogos.

Pengarah program, Profesor Madya Dr. Yap Wing Fen berkata persidangan secara maya itu dianjurkan bersama Kasetsart University (KU), Thailand dan IPB University, Indonesia.

“Kami menerima lebih 200 penyertaan dari seluruh dunia. Saintis terkemuka dari Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan negara Eropah lain, serta Mesir, Jepun, Korea, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Malaysia bersama berkongsi ilmu dalam persidangan ini,” katanya.

Tema persidangan ‘Engaging Fundamental Science in the New Norm’ seiring dengan usaha bagi terus mendukung penyelidikan sains asas termasuk bidang biologi, fizik, kimia dan matematik dalam norma baharu ini.

Persidangan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Profesor Ir. Dr. Robiah Yunus dan dihadiri Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman.

Dekan dari ketiga-tiga universiti - UPM, KU dan IPB - turut bersama menyempurnakan perasmian IFSC2021.

Persidangan tahunan IFSC bermula 2009 atas usaha Fakulti Sains, UPM untuk mewujudkan satu platform perkongsian berkenaan penyelidikan dalam sains asas untuk para penyelidik dan industri dari dalam dan luar negara.

Peserta IFSC2021, Muhammad Safwan Zaini berkata acara tiga hari itu berjalan lancar dan bertaraf antarabangsa. Peserta luar negara, Dr. Kanjanaboos turut memberikan pujian atas penganjuran cemerlang itu

Pada majlis penutup, Dekan Fakulti Sains UPM, Profesor ChM. Dr. Mohd. Basyaruddin Abdul Rahman menyerahkan simbolik baton kepada Dekan Fakulti Matematik dan Sains Semulajadi, IPB University, Dr. Berry Juliandi selaku penganjur IFSC2022 di Bogor, Indonesia. - UPM

Tarikh Input: 08/09/2021 | Kemaskini: 08/09/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKXKA:10:07