| Universiti Putra Malaysia

Pernah mahu tinggalkan PhD kerana tidak boleh berjalan, bangkit genggam PhD

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang


SERDANG, 29 Nov – “Apabila saya sudah tidak boleh berjalan memang saya rasa nak sangat tinggalkan PhD tetapi sokongan daripada pensyarah dan keluarga saya rasa perlu untuk teruskan. Saya hendak bantu pelajar lain lebih memahami bidang kejuruteraan elektrik,” luah graduan Dr. Noramlee Mohamed Noor, 55.

Beliau berjaya meraih Doktor Falsafah (PhD), Kejuruteraan Elektrik Kuasa pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 sesi empat di sini hari ini, yang telah disampaikan oleh Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menurutnya, beliau mula tidak boleh berjalan pada 2015 kerana diserang paralisis tulang belakang.

“Pengajian PhD memerlukan saya banyak berjalan jadi pada 2016 saya membuat pembedahan dan perlu penangguhan serta menukar tempat melakukan projek. Setahun saya mengambil masa untuk pulih semula daripada pembedahan.

“Saya bersyukur pada 2017 saya sudah boleh bergerak sedikit walaupun pergerakan itu terbatas dan saya teruskan membuat projek di tempat saya UniKL Kedah sehingga berjaya,” katanya.

Ayah kepada lima orang anak ini berkata beliau akan meneruskan konsistensinya sebagai seorang pensyarah menabur ilmu kepada anak bangsa bagi meningkatkan perkembangan dunia kejuruteraan di Malaysia.

“Saya ingin anak murid saya menjadikan saya sebagai inspirasi mereka. Lihat saya dalam keadaan begini walaupun OKU namun saya tetap boleh berjaya jadi mereka juga boleh,” katanya. -UPM

WXEbBAs~