| Universiti Putra Malaysia

Perkasakan lagi bidang pertanian

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 25 Feb - Bidang pertanian perlu terus diperkasakan lagi dengan melibatkan lebih ramai golongan belia menceburi bidang itu, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Sehubungan itu, katanya, maklumat berkaitan geran bantuan, latihan dan seumpamanya mesti disalurkan kepada mereka.

“Golongan belia, termasuk daripada kalangan lepasan institusi pengajian tinggi perlu dilatih dan dibimbing untuk menjadi petani yang berjaya,” katanya semasa lawatan ke Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, sokongan berterusan UPM dalam pembangunan sektor pertanian dan makanan negara melalui penghasilan modal insan, penyelidikan dan inovasi serta pemindahan ilmu dan teknologi telah menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian.

Katanya, bidang pertanian boleh memberi pulangan pendapatan yang baik jika diusahakan secara bersungguh-sungguh selepas mengikuti program-program latihan yang berkaitan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berharap lawatan itu akan dapat menjadi platform untuk UPM dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terus mengukuhkan kerjasama khususnya dalam meningkatkan sumbangan universiti dalam konteks pemindahan ilmu dan penciptaan kemewahan negara.

“Kami percaya, peranan UPM tidak hanya berlegar dalam konteks output semata-mata tetapi soal keberhasilan,” katanya.

Beliau berkata, UPM amat komited untuk terlibat secara aktif kepada keberhasilan pertanian negara, termasuk dalam penggubalan polisi pertanian.

Program pertanian sentiasa menjadi nic kepada UPM, katanya, dan menjelaskan bahawa daripada segi ekosistem pertanian, UPM mempunyai organisasi, infrastruktur dan sumber manusia untuk menyumbang kepada agenda pertumbuhan sektor pertanian negara termasuk sekuriti makanan dan tanaman perladangan. – UPM

SXETFAQ~