| Universiti Putra Malaysia

Perisai kalis peluru dihasil daripada bahagian pokok kelapa

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Noor Azreen Awang 


Dr. Mohammad Jawaid mengangkat jaket kalis peluru yang menggunakan cocos nucifera sheath, inovasi yang diberi nama ‘Techno Economic Hard Body Armour.

 

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan perisai pelbagai lapisan (MA) (multilayer armour) kalis peluru daripada lapisan helaian kulit bahagian pangkal pelepah kelapa atau ‘cocos nucifera sheath’ (CNS) yang boleh menggantikan fabrik Kevlar pada jaket kalis peluru, tanpa menjejaskan prestasi balisiknya.


Jaket kalis peluru daripada lapisan helaian kulit bahagian pangkal pelepah kelapa (cocos nucifera sheath).

 

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Mohammad Jawaid berkata, inovasi yang diberi nama Techno Economic Hard Body Armour itu digunakan pada jaket sebagai jaket kalis peluru, dan memenuhi spesifikasi keperluan standard National Institute of Justice (NIJ) tahap III.

Ujian balistik dilakukan menggunakan peluru 7.62mm kaliber sebagai peluncur tenaga kinetik tinggi, dari jarak 15 meter, dengan halaju tembakan 838±15m/s. Ujian dijalankan di Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) Selangor.

Hasil ujian mendapati kedalaman ukuran trauma ketumpulan (ballistic blunt trauma measurement) baju kalis peluru pelbagai lapisan berasaskan CNS adalah 26.51mm, iaitu lebih rendah daripada had masksimum ‘blunt trauma limit’ 44mm yang dibenarkan mengikut standard NIJ.

Dr. Mohammad yang juga Felo Penyelidik Kanan (Profesor) di  Laboratori Teknologi Biokomposit, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM, berkata ia juga menjimatkan 44 peratus kos fabrikasi berbanding MA yang berasaskan Kevlar.


Dr. Mohammad Jawaid memakai jaket kalis peluru yang menggunakan cocos nucifera sheath.

 


Dr. Mohammad Jawaid

 

Menurutnya, secara umumnya MA terdiri daripada seramik (SiC), komposit (Kevlar/epoxy) dan logam (Al). Namun hambatan utama menggunakan komposit berasaskan fabrik aramid atau Kevlar sebagai lapisan kedua dalam dalam MA ialah ia mahal dan boleh mencemarkan alam sekitar.

“Oleh kerana sifatnya yang bukan-biodegradasi, ia boleh mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan eko-sistem, dan disebabkan fabrik aramid lebih mahal, ia akan meningkatkan kos keseluruhan pembuatan MA,” katanya.

Beliau juga berkata, jaket kalis peluru monolitik yang diperbuat daripada fabrik aramid atau keluli memerlukan tahap ketebalan yang agak besar, yang boleh menjejaskan pergerakan dan keselesaan pemakainya. 


Lapisan helaian kulit bahagian pangkal pelepah kelapa (cocos nucifera sheath) yang dihasilkan menjadi perisai pelbagai lapisan (MA) kalis peluru.

 

Justeru, katanya, penyelidikan dan kajian yang dilakukannya adalah bagi menggantikan aramid fabrik/Kevlar dengan bahan semulajadi (cocos nuciferea sheath/epoxy composite) yang mudah diperolehi dan mesra alam tanpa menjejaskan prestasi balistik.

Katanya, Techno Economic Hard Body Armour menggunakan lapan kepingan MA, dengan masing-masing empat di bahagian depan dan empat di bahagian belakang jaket untuk menjadikannya jaket kalis peluru.

Berat Techno Economic Hard Body Armour adalah kira-kira 5 kg.

Ahli lain dalam kumpulan penyelidik itu ialah pelajar PhD Jesu arockiam Navreen, Prof. Madya Dr. Edi Syams Zainudin, Prof. Ir. Ts. Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan (semua dari UPM), dan Dr. Ridwan Yahaya dari STRIDE. – UPM

WXEaDAN~