| Universiti Putra Malaysia

Perabot daripada batik dan songket

Oleh Azman Zakaria

KUALA LUMPUR, 12 Mac - Warisan seni tradisional batik dan songket semakin segar dalam kepelbagaian penggunaannya dan terus mendapat tempat dalam kehidupan seharian masyarakat.

Penggunaannya kini turut diberi pembaharuan, termasuk diaplikasi dalam penghasilan perabot sama ada yang berbentuk kontemporari atau pun moden.

Sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan reka bentuk perabot yang unik dengan menjadikan batik dan songket sebagai motif rekabentuk itu.

  

Melalui kreativiti dan idea inovatif, mereka menghasilkan 12 produk, antaranya  meja sisi (side table), lampu meja, hiasan dinding (wall deco), ‘arm chair’ (sofa), bangku (stool), kerusi malas, kusyen, serta kerusi dan meja berkonsep mangkuk tingkat atau siya.

Produk itu dipamerkan pada Export Furniture Exhibition (EFE) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Kumpulan pensyarah dan pelajar FRSB itu mengetengahkan konsep ‘Contemporary Aesthetic Inspiration Neo-Living’ (KAIN), dalam koleksi rekabentuk perabot yang mengadunkan nilai seni budaya itu dalam kehidupan moden.

Berkonsepkan KAIN, ia adalah cara unik dalam menzahirkan keindahan seni yang terdapat pada batik dan songket Malaysia, yang diterjemah dan digabung jalinkan dengan perabot.

Pensyarah kanan, Jabatan Rekbabentuk Perindustrian, FRSBProf. Madya Dr. Nazlina Shaari berkata mereka mengetengahkan konsep KAIN daripada batik dan songket untuk memberi satu bentuk pembaharuan kepada masyarakat bahawa seni batik dan songket boleh diaplikasikan dalam pembuatan perabot kontemporari dan moden.

“Semua produk yang dihasilkan berinspirasikan batik dan songket… bukan sahaja diaplikasikan kepada kain atau perabot tetapi motif-motif itu juga digunakan dalam mereka bentuk dan membangunkan perabot itu sendiri,” katanya.

Antaranya meja sisi (side table) diperbuat daripada kayu yang disusun atur dengan papan permukaan meja bermotifkan batik dan songket.

Juga hiasan dinding (wall deco) bermotifkan songket yang dihasilkan menggunakan teknik photo etching (hakisan asid) ke atas plat tembaga, bangku (stool) daripada konsep Bunga Pecah Lapan, seta meja dan lampu menggunakan konsep ‘borchade.’

Kerusi malas berkonsep gong, yang tempat duduknya dibangunkan menggunakan kayu dan kain buruk yang diletakkanya di tengah-tengah di antara lapisan kayu tempat duduk itu, sekali gus membantu dalam proses kitar semula kain-kain buruk. Ia dilengkapi dengan kemasan kusyen bercorak batik.

Keindahan corak batik dan songket juga diterapkan dalam lampu meja ‘Lampu Batik Metafora Melayu’ (Malay Metafore Batik Lamp) melalui corak batik daripada pelbagai gabungan pantun atau puisi Melayu, antaranya ‘bagai aur dengan tebing,’ dan ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumáh di tepi pantai’.

Juga yang menarik ialah kerusi dan meja mudah alih berkonsepkan mangkuk tingkat atau siya. Ia mudah dileraikan untuk dimasukkan ke dalam kenderaan untuk di bawa. Mejanya juga dilengkapi laci untuk mengisi barang.

Lampu lantai (floor lamp) berkonsepkan pahlawan galaksi dengan teknik batik blok daripada inspirasi watak-watak dalam Star Wars menggunakan elmen kain Pua/Kumbu. 

Sementara itu ‘booth’ UPM memenangi tempat kedua kategori ‘Best Booth Design-Shell Scheme’ pada EFE itu, untuk menerima wang taunai RM2,000 serta plak yang disampaikan Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC), Chua Chun Chai. – UPM

WXDdFAw~