| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM ketuai penyelidikan vaksin COVID-19

Oleh: Nor Adilla Alfadzil

 

SERDANG –  Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd Yusoff mengetuai penyelidikan bagi membangunkan vaksin COVID-19.

Beliau dibantu oleh beberapa penyelidik UPM, Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) dan Pakar dari Universiti of Oxford dengan menggunakan Newcastle Disease Virus (NDV) untuk membangunkan vaksin itu.

Kajian yang dimulakan pada Mac tahun ini turut menerima peruntukan RM2.7 juta di bawah MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menerusi peruntukan MCCOF, tempoh 18 bulan diberikan untuk menghasilkan vaksin COVID-19 sehingga ke fasa praklinikal yang akan diuji terhadap haiwan dan semestinya dilakukan di Malaysia.

Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah, pakar mikrobiologi dan virologi yang berpengalaman lebih 30 tahun mengkaji NDV,  berkata NDV yang dipencilkan daripada ayam di negara ini akan digunakan dan bertindak sebagai vektor bagi merangsang sistem imun manusia menghasilkan antibodi menentang COVID-19.

Kepakaran dan pengalaman beliau dalam penyelidikan membangunkan vaksin NDV untuk melawan kanser, bagi menghasilkan vaksin COVID-19 itu akan digunakan sepenuhnya. NDV tidak menjangkiti manusia tetapi menjangkiti burung atau ayam sahaja.

Beliau yakin vaksin itu selamat digunakan untuk manusia.

Katanya, ini adalah titik permulaan bagi para penyelidik di Malaysia untuk membangunkan vaksin bagi penyakit-penyakit lain pada masa depan. - UPM

SXEZUAn~