| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM hasil formulasi biobaja cecair rangkul Pingat Emas ITEX 2023

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ali Tan Kee Zuan menghasilkan formulasi biobaja cecair yang ditambahbaik (An Improved Formulation of a Liquid Biofertilizer) berjaya merangkul  pingat emas di The International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2023 (ITEX).

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, UPM menghasilkan biobaja cecair  yang mampu mengurangkan kadar baja kimia sehingga 60% dan biobaja ini boleh dihasilkan dalam masa yang singkat iaitu di antara 24 hingga 48 jam sahaja.

Biobaja itu telah dikaji dan terbukti mampu mempercepatkan proses pengkomposan dan penguraian bahan organik, menghasilkan baja organik  menghasilkan baja organik yang berkualiti tinggi.

Kajian itu adalah hasil kolaborasi dengan rakan industri telah berjaya meningkatkan kadar pertumbuhan dan hasil tanaman melalui pelbagai mekanisma dan juga boleh mempercepatkan proses kompos dan penguraian bahan organik.

Selain itu, penyelidikan Hybrid Kelah Malaysia (Malaysian Mahseer Hybrid) oleh Dr. Fadhil Syukri daripada Fakulti Pertanian dan (Ekstrak Piawai Paederia Foetida  (Pokok Sekentut): Ubat Potensi Untuk Diabetes Jenis 2 (Standardized Paederia Foetida Extract: Potential Remedy for Type 2 Diabetes) oleh Dr. Nur Kartinee Kassim daripada Fakulti Sains turut memperoleh Pingat Emas.

Sementara itu, pingat perak dimenangi bagi kajian Ecosaria: Bioinsektisida Hijau (Ecosaria: Green Bioinsecticide) oleh Ts. Dr. Norhayu Asib daripada Fakulti Pertanian, Jalur ujian berasaskan asid nukleik (NALFA) untuk pengesahan ayam kampung (Nucleic Acid-Based Lateral Flow Assay Strip for The Detection of Village Chickens) oleh Dr. Noordiana Nordin dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Kit Amplifikasi Pantas Khinzir/Babi (Porcine Rapid Amplification Kit) oleh Dr. Nur Fadhilah Khairil Mokhtar dari Institut Penyelidikan Produk Halal.

Prof. Ir. Dr. Hj. Kamarul Arifin Ahmad, Pengarah, Putra Science Park UPM berkata, semua pingat yang diraih adalah merupakan hasil daripada komitmen dan dedikasi yang tinggi oleh barisan penyelidik dalam membangunkan inovasi terbaik.

"UPM sangat komited dalam menghasilkan dan mengkomersilkan inovasi yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara serta mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan," katanya.

Penganjuran ITEX 2023 telah masuk tahun ke-34 penganjurannya yang lebih memfokuskan untuk menggalakkan dan menononjolkan keupayaan penyelidi muda untuk meneroka kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di Asian Young Inventors Exhibition (AYIE) dan Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE).

ITEX 2023 yang dianjurkan pada 11 hingga 12 Mei 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) merupakan pameran rekacipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S. Network Sdn. Bhd. – UPM

WXEYGAO~