Penyakit Tidur Berdengkur Tidak Boleh Diambil Ringan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyakit tidur berdengkur tidak boleh diambil ringan

Penyakit tidur berdengkur tidak boleh diambil ringan

Oleh Siti Nadirah Che Wel

SERI KEMBANGAN, 10 Feb – Institut Penyelidikan dan Penuaan Malaysia (IPPM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program saringan kesihatan yang mensasarkan peserta dari kalangan penduduk setempat sekaligus menjalankan penyelidikan mengenai penyakit tidur berdengkur dan migrain.

Ketua projek penyelidikan itu, Dr. Mohd Hazmi Mohamed berkata program bertujuan untuk mendedahkan kepada komuniti mengenai penyakit tidur berdengkur di kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan migrain.

Katanya, terdapat ramai yang tidak menyederai mereka mempunyai masalah berdengkur dan migrain.

Penyelidik bersama Dr Vasudevan Ramachandran turut membantu merealisasikan program itu bersama pelajar Dr Nur Afiqah Mohamad.

Program itu dijayakan bersama pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM, staf IPPM dan ahli jawatankuasa penduduk setempat. Antara pelajar yang terlibat ialah pengarah program Siti Nadirah Che Wel yang dibantu oleh Nur Ain Amir dan Nabil Izzaatie Mohamad Safiai.

Program turut dihadiri Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi Hospital Serdang, Dr. Saraiza Abu Bakar yang memberi ceramah kesihatan mengenai penyakit tidur berdengkur.

Katanya penyakit tidur berdengkur tidak boleh diambil mudah oleh penghidapnya kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur yang akan mempengaruhi kualiti hari keesokannya.

Ceramah migrain pula disampaikan Pakar Neurologi Hospital Serdang, Prof. Madya Dr. Wan Aliaa Wan Sulaiman bersama rakan sekerja beliau Dr. Liyana Najwa Inche Mat yang juga pensyarah perubatan dari FPSK UPM.

Prof. Madya Dr. Wan Aliaa berkata, amalan cara hidup dan pemakanan sihat boleh mengurangkan gejala migrain, di samping mengelak risiko yang boleh menyebabkan serangan migrain.

Program berkenaan yang diadakan secara berkala juga dapat mendekatkan lagi pelajar dan staf perubatan dengan komuniti. - UPM

Tarikh Input: 18/04/2019 | Kemaskini: 18/04/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566074381